IPOH: Seorang kerani sebuah syarikat swasta kerugian RM139,616 selepas ditipu sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan sambilan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri, berkata pihaknya menerima aduan berkaitan kejadian itu daripada mangsa berusia 26 tahun, semalam.

Menurutnya, mangsa mula terpengaruh apabila sindiket berkenaan menyatakan kerja sambilan itu mampu memberi pendapatan sampingan selain komisen yang berbaloi.

"Mangsa menerima pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp pada 26 April lalu daripada sebuah syarikat yang menawarkan kerja sambilan iaitu dengan menyiapkan tugasan dia dijanjikan pulangan dan komisen segera.

"Setelah bersetuju mangsa telah dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan Telegram LCX Task Group 21 dan mangsa diberikan penerangan lanjut berkaitan tugasan yang perlu dilakukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Adnan berkata sepanjang tempoh 26 April hingga 5 Mei, mangsa membuat 13 transaksi ke dalam empat akaun instituti kewangan swasta dengan jumlah keseluruhan RM139,616.

"Modus operandi sindiket permulaannya menawarkan komisen 10 peratus bagi kerja pertama iaitu menaikkan rating laman web dan kemudian tugasan kedua perlu melayari aplikasi membeli belah dalam talian dan perlu memilih barangan mengikut tugasan yang diberikan.

"Sebelum mangsa melakukan tugasan membeli barangan, mangsa perlu memasukkan wang terlebih dahulu sebelum mulakan tugasan untuk dapatkan komisen 20 peratus itu tadi," katanya.

Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu apabila kesemua tugasan diambil diselesaikan namun tidak menerima pulangan seperti yang dijanjikan.

"Mangsa sekali lagi diminta untuk membuat pembayaran lain bagi proses pemulangan modal serta komisen namun mangsa tidak melakukannya kerana mula rasa curiga," katanya.

Sementara itu Ahmad Adnan berkata sepanjang tahun lalu sebanyak lapan kes telah dibuka kertas siasatan melibatkan kerugian RM133, 207 manakala sepanjang Januari hingga 11 Mei tahun ini lapan kes telah direkodkan melibatkan kerugian RM267, 729.

"Kes tipu tawaran kerja sambilan ini menunjukkan peningkatan kes dengan penglibatan mangsa dari umur 20 tahun hingga 50 tahun yang terpedaya kerana ingin menambah pendapatan mereka,"katanya.

-- BERNAMA