JOHOR BAHRU: Seorang kerani wanita di sebuah syarikat swasta di sini kerugian lebih RM1.08 juta selepas diperdaya individu menyamar sebagai pegawai polis.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata, wanita berusia 45 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon memaklumkan akaun bank miliknya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram pada awal November lalu.

Menurutnya, individu yang menyamar sebagai pegawai polis itu menawarkan diri untuk membantu wanita terbabit dengan mengarahkan dia menyerahkan butiran akaun bank yang dimiliki termasuk akses kepada perbankan dalam talian.

"Butiran itu diberikan kepada suspek kononnya sementara siasatan polis dijalankan. Pengadu mengikut arahan suspek untuk memindahkan semua wang miliknya ke akaun bank yang diserahkan suspek.

"Pengadu hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas mendapati wang berjumlah RM1,086,350 miliknya dikeluarkan daripada akaun sebelum suspek gagal dihubungi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu beliau berkata, polis turut menerima satu laporan daripada seorang warga emas berusia 70 tahun mendakwa menjadi mangsa penipuan skim pelaburan yang tidak wujud, pada Sabtu.

Menurutnya, lelaki itu yang juga pesara syarikat swasta memaklumkan menerima panggilan telefon daripada seorang individu pada September lalu.

"Pengadu mendakwa individu berkenan daripada sebuah syarikat menawarkan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

"Pada peringkat awal, pengadu cuba melabur dengan nilai yang kecil dan menerima keuntungan yang dijanjikan, menyebabkan pengadu percaya dengan skim pelaburan terbabit dan membuat pelaburan secara berperingkat sehingga berjumlah RM1,204,363.

"Pengadu menyedari dia ditipu selepas mendapati wang keuntungan atas pelaburannya tidak dapat dikeluarkan atas pelbagai alasan termasuk diarahkan membuat bayaran-bayaran lain," katanya.

Menurut Kumar, kedua-dua kes yang melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM2,290,713 itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kumar menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutama dalam urusan membabitkan transaksi kewangan.

"Orang ramai juga diseru untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian ‘Semak Mule’ sebelum membuat sebarang pembayaran serta muat turun aplikasi ‘Whoscall’ bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.

"Sekiranya menjadi mangsa penipuan, hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 dengan seberapa segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek," ujarnya. -Sinar Harian