GUA MUSANG: Rutin harian kira-kira 400 masyarakat Orang Asli di Kampung Bihai Lama, Pos Bihai, di sini sedikit berubah selepas kes seorang lelaki maut dibaham harimau berlaku di Kampung Sau, dekat sini Januari lepas.

Mereka kini perlu lebih berhati-hati malah lembing dan parang menjadi 'teman' utama apabila melakukan aktiviti di dalam hutan.

Terbaharu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Bihai Lama, Albet Angkai, 39, mendakwa hampir setiap minggu penduduk kampung menemukan kesan tapak kaki harimau di kampung itu.

"Kami kerap menjumpai kesan tapak kaki haiwan berkenaan setiap kali masuk ke dalam hutan tetapi tiada laporan yang dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) setakat ini kerana tiada ancaman kepada penduduk kampung.

"Kami tiada pilihan selain terpaksa melalui jalan hutan untuk ke sungai menangkap ikan, justeru akan membawa lembing dan parang bersama bagi tujuan mempertahankan diri sekiranya terserempak dengan haiwan buas berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Bihai Lama, Pos Bihai di sini.

Bagi Mulian Alok, 50, penduduk kampung masih lagi trauma dengan peristiwa hitam yang melibatkan kematian di perkampungan itu dan mengambil inisiatif untuk membela anjing bagi memberi amaran sekiranya ternampak kelibat harimau masuk ke kampung.

"Saya masih lagi fobia dan takut terjadi lagi serangan 'pak belang' jadi saya tetap berhati-hati dan mengelakkan diri daripada masuk ke hutan dengan kerap kerana bimbang mungkin masih ada harimau yang berlegar-legar di sana,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani yang mengesahkan tidak menerima laporan berkaitan dakwaan itu, tidak menolak kemungkinan kehadiran mamalia itu di kampung berkenaan memandangkan kawasan hutan ialah habitat asal spesies haiwan itu.

"Orang Asli berhibernasi bersama hidupan hutan tidak kira liar atau tidak, jadi apabila mereka terjumpa tapak kaki harimau bukan bermaksud ancaman kerana harimau akan melarikan diri apabila berjumpa manusia,” katanya. - Sinar Harian