KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata video tular di media sosial berkaitan isu kafir telah diambil di luar konsensus dan diselewengkan konteks dengan cubaan jahat mahu mencalarkan imej serta dan kredibiliti beliau.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook beliau hari ini, Fadhlina menyifatkan penularan video itu turut berniat mencetuskan kekecohan dalam isu berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi raja) dengan memercikkan pemesongan makna ucapan sebenar sehingga beliau ditohmah dengan ujaran kebencian, tuduhan tidak benar dan fitnah selain diancam keselamatan.

Menjelaskan mengenai video itu, Fadhlina berkata video tular itu adalah keratan yang diambil daripada pertemuan tertutup beliau dengan kumpulan tertentu, yang telah dirakam dan ditularkan dengan tafsiran di luar konteks untuk mencipta polemik dan bersifat fitnah. 

"Poster ini disengajakan penghasilannya untuk mencipta polemik bagi mengherotkan makna asal daripada keratan video tular, yang memaparkan saya sedang berucap dengan menyebutkan bahawa saya tidak membenarkan anak-anak saya mengungkapkan istilah 'kafir' di rumah.

"Dalam rakaman video tersebut (acara tertutup), saya menyinggung perihal penyebaran sentimen kebencian, sikap ghuluw (melampau) dan gejala takfiri dalam kalangan segelintir masyarakat, sehinggakan menuduh saya dengan tuduhan fitnah, hidup saya tidak berkat kerana saya bekerja untuk orang kafir. 

"Saya sebutkan, bahawa saya tidak membenarkan anak-anak saya menyebut istilah 'kafir' yang mempunyai konotasi kebencian terhadap warga non-Muslim (bukan Muslim) yang hidup bersama-sama dalam negara tercinta.

"Isu sebutan 'kafir' atau 'non-Muslim' bukanlah tindakan saya melarang penggunaan perkataan dalam al-Quran, apatah lagi menafikan istilah yang digunakan dalam al-Quran," katanya dalam hantaran itu.

Sebaliknya, Fadhlina berkata ia adalah isu pemilihan panggilan bersesuaian dalam kehidupan seharian, mengambil contoh tokoh ulama Almarhum Prof Dr Sheik Yusuf al-Qaradawi dan bekas rektor Universiti Al-Azhar Prof Dr Ibrahim al-Hudhud yang mengakui penggunaan 'ghayru Muslim' (non-Muslim) termasuklah dalam panggilan sosial. 

Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR berkata pada mulanya beliau tidak berhasrat untuk menjawab isu yang tular kerana mereka yang mendengar ucapan itu dapat menilai konteks sebenar yang hendak disampaikan.

Namun, disebabkan sentimen video tular itu telah menimbulkan ancaman keselamatan terhadap beliau dan keluarga, maka beliau tidak boleh berkrompromi.

"Rakan menasihatkan agar laporan polis dibuat atas faktor keselamatan. Kumpulan peguam menyarankan tindakan undang-undang dan sivil kepada mereka terlibat. ⁠Peguam juga sedang mengumpulkan bukti menerusi media sosial. Kelihatan banyak pengguna media sosial telah bertindak di luar kawalan termasuk terlalu melampau dalam bereaksi," katanya.

Dalam kenyataan itu, Fadhlina juga memohon maaf jika telah mengguris perasaan mana-mana pihak atas kesalahfahaman, keterlanjuran kata dan kehilafan dari dirinya.

Semalam, Setiausaha Politik Menteri Pendidikan Atiqah Syairah Shaharuddin membuat laporan polis di Kuching, Sarawak berhubung penularan video tular dan gambar poster Fadhlina itu yang didakwa telah disunting serta bersifat fitnah sehingga menimbulkan reaksi negatif netizen. 

-- BERNAMA