MALAYSIA
Wanita dilaporkan hilang ditemukan lemas dalam Sungai Pedu

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang selepas sebuah kereta jenis Perodua Axia miliknya ditemukan tersadai di atas Jambatan Lebuhraya Pedu, berhampiran Kampung Pinang, sekitar jam 2.35 petang Jumaat oleh anggota Unit Kereta Peronda polis.
PADANG TERAP: Misteri kehilangan seorang wanita yang disyaki terjatuh ke dalam Sungai Pedu pada Jumaat akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Abdull Razak Osman berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Nadia Izzaty Mohd Suhaimi, 32, selepas waris tampil membuat pengecaman di lokasi penemuan mayat di Sungai Jeram Tok Din sekitar jam 11.30 malam.
Menurutnya, mangsa sebelum itu dilaporkan hilang selepas sebuah kereta jenis Perodua Axia miliknya ditemukan tersadai di atas Jambatan Lebuhraya Pedu, berhampiran Kampung Pinang, sekitar jam 2.35 petang Jumaat oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Polis.
“Hasil semakan nombor pendaftaran mendapati kenderaan itu milik ibu mangsa, sebelum keluarga mengesahkan Nadia yang memandunya.“Waris juga memaklumkan mangsa merupakan penghidap skizofrenia dan sedang menjalani rawatan. Kali terakhir beliau dilihat meninggalkan rumah sekitar jam 11 pagi dalam keadaan tenang, memakai pakaian biru gelap dan bertudung merah hati,” katanya kepada Astro AWANI.
Pemeriksaan awal polis mendapati tiada sebarang kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Mayat telah dibawa ke Hospital Kuala Nerang (HKN) untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Aminuddin Mad Khozali memaklumkan, sepasukan tujuh anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden tersebut.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan bot aluminium bomba dilancarkan di kawasan permukaan air di sekitar lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
“Bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 7 malam akibat cuaca gelap dan disambung semula pagi Sabtu,” katanya.
Penemuan mayat oleh orang awam kemudian dimaklumkan kepada pihak polis sebelum pengesahan dilakukan oleh keluarga.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami