Kereta rempuh rumah kedai, seorang maut, empat cedera

Astro Awani
Ogos 24, 2019 01:51 MYT
Anggota bomba melakukan kerja-kerja menyelamat ke atas mangsa yang terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta Myvi terbabas lalu merempuh sebuah rumah kedai. - Astro AWANI
Seorang maut manakala empat lagi rakannya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh sebuah rumah kedai dalam satu kejadian malam tadi.
Kemalangan berlaku di Kilometer 57 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu berhampiran Chalok Kedai, di sini, kira-kira jam 10.40 malam.
Nahas itu menyebabkan mangsa, Muhammad Ameerul Hadeem Muhammad Ameen, 20 tahun, maut di tempat kejadian.
Ketika kejadian, kesemua mereka sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bahru, Kelantan.
BACA JUGA: Kereta dipandu hilang kawalan, doktor HTF maut kemalangan
Sejurus tiba di tempat kejadian, kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu mangsa dikatakan terbabas lalu merempuh sebuah rumah kedai kosong.
Insiden itu juga menyebabkan rakannya, Alif Zikri Mohd Nizam, 20 tahun, mengalami kecederaan parah manakala tiga yang lain cedera ringan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Supt Abd Razak Hasan ketika dihubungi, mengesahkan kejadian.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk dibedah siasat manakala mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital yang sama.
#Abd Razak Hasan #bedah siasat #Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu #kemalangan #kereta #maut #Myvi #Nahas #rumah kedai #siasatan #terbabas