Kerisauan rakyat Malaysia meningkat ke tahap maksimum pada suku ketiga 2020 - EMIR Research

Fareez Azman
November 16, 2020 08:26 MYT
Hasil kajian Emir Research pada suku ketiga tahun 2020 mendapati, tahap kebimbangan rakyat terus mencatatkan peningkatan ketara berbanding sebelum ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Hasil kajian EMIR Research pada suku ketiga tahun 2020 mendapati, tahap kebimbangan rakyat terus mencatatkan peningkatan ketara berbanding sebelum ini.
Kajian mendapati tahap kebimbangan rakyat suku ketiga tahun 2020 pada tahap 0.7878 berbanding 0.7748 suku pertama.
"Berdasarkan 12 soalan kajian Indeks Kerisauan Nasional (NWI) yang dibangunkan, secara teori NWI dapat mengenal pasti empat perkara yang menjadi faktor kebimbangan responden. Ia termasuk kos sara hidup, keselamatan pekerjaan, ekonomi dan isu keselamatan.
"Berdasarkan tahap kajian NWI mendapati peratusan meningkat kepada tahap kerisauan maksimum di bawah paras tidak sihat iaitu 0.80. Kajian boleh menyimpulkan bahawa secara purata kerisauan rakyat Malaysia ini disebabkan sosio-ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dari suku pertama tahun 2020 sehingga suku ketiga tahun yang sama," jelas kajian itu.
12 perkara yang menjadi kerisauan rakyat antaranya melibatkan kos sara hidup harian, kenaikan harga rumah serta berhutang demi kelangsungan hidup.
Manakala bagi pekerjaan pula, ia merangkumi kerisauan kehilangan sumber pendapatan, belia tiada pekerjaan dan kurang peluang pekerjaan.
Bagi aspek ekonomi, kebimbangan adalah tentang pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), subsidi petani dan nelayan dikurangkan serta kualiti pendidikan.
Aspek keselamatan pula menunjukan kerisauan terhadap kadar jenayah semasa, isu sosial termasuk penyalahgunaan dadah serta korupsi dan penyalahgunaan kuasa.
BACA: Hilang pekerjaan antara kerisauan paling tinggi rakyat - EMIR Research
#rakyat Malaysia #Indeks Kerisauan Nasional #EMIR Research #kebimbangan #peluang pekerjaan #sosio-ekonomi #COVID-19 #kos sara hidup #SST #pandemik #Keselamatan Pekerjaan #ekonomi