Skip to main content

Malaysia

Kerja gaji tinggi, sesuai kelayakan fokus utama KESUMA - Ramanan

JOHOR BAHRU, 4 Julai -- Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan bercakap kepada pemberita selepas Majlis Beramah Mesra bersama Masyarakat Permas di Kuil Sree Maha Mariamman Taman Megah Ria, Kota Puteri hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ramanan bercakap kepada pemberita selepas Majlis Beramah Mesra bersama Masyarakat Permas di Kuil Sree Maha Mariamman Taman Megah Ria, Kota Puteri hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

PASIR GUDANG: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan memastikan setiap peluang pekerjaan yang diwujudkan bukan sekadar memenuhi pasaran, tetapi mempunyai nilai rantaian gaji yang tinggi serta bertepatan dengan tahap kelayakan setiap pencari kerja.

Menterinya Datuk Seri R. Ramanan berkata tumpuan utama kementerian kini beralih daripada sekadar mencipta lambakan pekerjaan kepada usaha memastikan kualiti penawaran yang setimpal dengan kemahiran pemohon.

Beliau berkata KESUMA ketika ini memiliki ekosistem pasaran kerjaya yang matang menerusi platform komprehensif, khususnya portal MYFutureJobs yang dipacu oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan ketepatan pemadanan kerjaya.

“Tak guna kalau kita wujudkan peluang pekerjaan tidak bermaruah, tidak bergaji tinggi dan tidak padan serta sesuai untuk seseorang yang mencari peluang pekerjaan itu. 

“Oleh sebab itu, kita ada portal MYFutureJobs. Sudah lebih 300,000 permohonan pekerjaan dibuat dan 200,000 daripadanya berjaya dipadankan, manakala terdapat lebih 100,000 lagi peluang pekerjaan tersedia dalam platform itu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program temu mesra bersama masyarakat Permas di sini hari ini, yang turut dihadiri calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas Sharon Teo Siew Hui.

Selain itu, Ramanan yang juga Naib Presiden PKR berkata tawaran 250,000 peluang pekerjaan bermaruah di Johor yang ditawarkan PH sekiranya gabungan itu diberikan mandat mentadbir negeri berkenaan tidak mustahil untuk direalisasikan. 

Semalam, PH melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bertemakan 'Johor Untuk Semua', yang menggariskan 10 tawaran utama merangkumi agenda kesihatan, perumahan, keusahawanan, pendidikan, pertanian, pengangkutan dan pekerjaan.

Antara tawaran utama ialah sasaran mewujudkan 250,000 peluang pekerjaan baharu yang bergaji tinggi dan bermaruah di Johor melalui pemerkasaan pelbagai sektor ekonomi moden serta industri bernilai tinggi.

Tawaran itu bakal dicapai dengan mencipta 50,000 peluang pekerjaan setiap tahun, selain berusaha meningkatkan kadar gaji median di Johor sekurang-kurangnya 30 peratus.

PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement