KUALA LUMPUR: Kerja-kerja penyelenggaraan yang dijadual dilakukan di Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong Machang ditangguh buat sementara waktu. 

Menurut kenyataan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), kerja-kerja tersebut, yang akan menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa tempat di Kelantan bermula semalam hingga 15 Februari, ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Sebelum ini, AKSB mengeluarkan kenyataan bahawa empat jajahan di Kelantan terlibat, iaitu Machang, Pasir Puteh, Kota Bharu Selatan dan Kota Bharu Timur yang bakal menjejaskan keseluruhan 32,015 akaun pengguna.

Ia susulan kerja-kerja pembaikan Tangki Clarifier di LRA Merbau Chondong yang dijadualkan sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut laporan, sepanjang tempoh berkenaan, para pelanggan dijangka mengalami gangguan kualiti air sepanjang tempoh kerja-kerja pembaikan dilakukan.

Justeru sebarang maklumat lanjut berkaitan gangguan bekalan air di Kelantan, boleh hubungi talian PINTAS di talian 15777 dan Whatsapp ke nombor 019-575 5777.

Pengguna juga dinasihatkan memuat turun Aplikasi MyAKSB di platform tersedia dalam talian.