NATIONAL
Kerjasama antara negeri penting untuk jayakan Malaysia Digital - Gobind

Abang Johari (kiri) menyampaikan Geran Kandungan Kreatif MDEC kepada Ayden Lim dari Betapuru Digital Sdn Bhd (kanan), disaksikan Gobind Singh, sempena program Jelajah Malaysia Digital di TEGAS Digital Village, Kuching, 16 Mei 2025. --fotoBERNAMA
KUCHING: Kementerian Digital menyasarkan semua perkhidmatan kerajaan dapat diakses melalui satu platform digital nasional sejajar dengan inisiatif Malaysia Digital, kata Menterinya Gobind Singh Deo.
Beliau berkata pendekatan itu memerlukan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, khususnya dalam aspek perkongsian data yang selamat dan teratur.
"Dalam beberapa minggu lepas, saya telah membuat lawatan ke Pulau Pinang, Selangor dan kali ini di Sarawak untuk melihat sendiri kesiapsiagaan negeri-negeri melaksanakan transformasi digital.
"Kita lihat banyak negeri telah berjaya mendigitalkan perkhidmatan masing-masing, jadi sekarang kita mahu wujudkan kerjasama agar tiada keperluan untuk ulang proses yang sama di peringkat pusat," katanya pada sidang media selepas lawatan ke pejabat Sarawak Information Systems Sdn Bhd di sini semalam.Gobind berkata Pulau Pinang dan Selangor telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam aspek perkongsian data.
Sarawak pula, beliau berkata turut menunjukkan maklum balas yang positif selepas sesi perbincangan pagi semalam bersama Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
"Kita sudah luluskan Rang Undang-Undang Perkongsian Data di Parlimen pada Disember lepas dan ia telah pun berkuat kuasa pada April.
"Undang-undang ini hanya melibatkan data antara agensi kerajaan Persekutuan, oleh itu kita galakkan kerajaan negeri mewujudkan rang undang-undang yang serupa bagi membolehkan perkongsian data dilakukan secara menyeluruh," katanya.
Gobind berkata data merupakan elemen penting dalam penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), justeru aspek keselamatan serta tatacara penggunaan data perlu diperincikan dalam setiap kerangka perundangan.
"Kita mahu data yang dikongsi hanya digunakan untuk tujuan yang dibenarkan dan dilindungi sepenuhnya dari aspek keselamatan. Ini yang telah kita nyatakan secara jelas dalam undang-undang di peringkat pusat," katanya.
Beliau berkata siri lawatan ke negeri lain akan diteruskan, termasuk ke Command Centre Bukit Jalil pada Isnin ini bagi menilai tahap pendigitalan dan potensi kerjasama secara menyeluruh.
"Kita harap selepas ini wujud satu kerangka perundangan nasional yang membolehkan perkongsian data antara kerajaan pusat, negeri, dan tempatan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami