KUALA LUMPUR: Jalinan kerjasama antara negara ASEAN dilihat boleh menjadi faktor penarik bagi membawa pelancong luar ke rantau ini.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATTA), Datuk Mohd Khalid Harun berpendapat, dalam pasca pandemik, menarik pelancong antarabangsa secara bersendirian agak sukar, berbanding jika adanya satu rangkaian kerjasama antara negara ASEAN khususnya negara-negara jiran terdekat.

"ASEAN ini satu hab pelancongan dan salah satu kekuatan kita. Benar Malaysia mempunyai keunikan berbanding negara lain dari segi sosial, adat dan budaya tetapi jika ada kerjasama itu akan lebih menarik.

"Sebagai contoh pelancong dari Thailand masuk ke Malaysia, Malaysia ke Singapura, Singapura ke Indonesia, Indonesia ke Filipina dan Brunei. Dengan rangkaian seumpama ini boleh meningkatkan kunjungan pelancong dari luar," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Rabu.

Dalam masa yang sama, Mohd Khalid juga berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) meningkatkan usaha mempromosi negara dengan menggunakan kelebihan yang dimiliki Malaysia.

"Malaysia negara yang dikenali sebagai destinasi pilihan mesra Muslim, selain dikenali sebagai destinasi Truly Asia. Ini kelebihan yang perlu kembali diangkat dan dipromosikan kerana dari dahulu lagi, inilah kekuatan kita.

"Agensi pelancongan pula perlu bersedia, mungkin boleh diadakan kerjasama dengan sektor lain dalam industri seperti perhotelan, makanan dan pengangkutan bagi memudahkan pelancong apabila mereka sampai.

"Kita kena pastikan kita jadi tuan rumah yang baik walaupun mereka melancong dalam situasi berbeza daripada sebelum ini," ujarnya lagi.

Malah, langkah Malaysia memberi kelonggaran dengan tiadanya tempoh kuarantin bagi pelancong yang sudah lengkap vaksinasi juga menjadi kelebihan kepada Malaysia.

MATA, jelasnya, yakin pembukaan sempadan itu akan memberi nafas baharu kepada industri pelancongan, dengan rata-rata agensi sudah bersedia untuk menerima pelancong luar negara.

Malaysia akan membuka pintu sempadan kepada pelancong dan pengembara asing bermula 1 April selepas ditutup sejak Mac 2020 bagi menangani pandemik COVID-19.

Pembukaan Semula Sempadan | Apa persediaan industri pelancongan?