KUALA LUMPUR: Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin COVID-19 mendedahkan kerajaan terpaksa membuat keputusan dasar untuk memuktamadkan rundingan perolehan vaksin COVID-19, dengan pembekal walaupun syarat perjanjian lebih memihak kepada pihak syarikat.

Ketika membentangkan kertas putih berkenaan, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, kerajaan turut menghadapi kesukaran memuktamadkan rundingan dengan syarikat pembekal vaksin COVID-19 kerana pembekal yang sangat terhad.

"Pada masa yang sama terdapat permintaan yang sangat tinggi daripada semua negara yang lain untuk mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 segera mungkin.

"Penyertaan Malaysia dalam COVAX yang diselia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah menunjukkan usaha dan komitmen negara ini untuk memperolehi 10 peratus vaksin COVID-19 bagi keperluan vaksinasi rakyat Malaysia, manakala baki 90 peratus perolehan vaksin dibuat secara rundingan government to government atau government to corporation melalui perjanjian dua hala dengan syarikat-syarikat pembekal," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Lukanisman menambah, kriteria utama yang digunakan dalam mempertimbangkan rundingan perolehan vaksin ialah melibatkan aspek keselamatan, keberkesanan dan kestabilan sesuatu vaksin COVID-19 tersebut.

Katanya, pada saat genting tersebut keutamaan dan fokus kerajaan adalah untuk membuat keputusan dan menyegerakan proses perolehan vaksin COVID-19 kerana setiap nyawa rakyat adalah berharga.

"Jemaah menteri pada Disember 2020 telah bersetuju agar Menteri kesihatan (Datuk Seri Dr Adham Baba) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Khairy Jamaluddin) diberi kuasa untuk berunding menandatangani perjanjian pembelian serta membuat perolehan vaksin COVID-19 tanpa perlu merujuk kepada jemaah menteri atau Kementerian Kewangan untuk kelulusan.

"Ia tertakluk kepada beberapa syarat iaitu terdapat wakil Kementerian Kesihatan dalam rundingan perolehan vaksin dan yang kedua, urusan tandatangan kontrak mewakili kerajaan Malaysia adalah tertakluk kepada Akta Kontrak Kerajaan 1949," katanya.

Malaysia menerima kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos vaksin pada 21 Februari 2021.