KUALA LUMPUR: Jumlah kes jangkitan COVID-19 dalam negara dijangka mencecah lebih 10 juta atau dua kali ganda daripada kes sebenar yang dilaporkan, tanpa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Ketika membentangkan Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin COVID-19, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) menunjukkan keberkesanan pemberian vaksin berjaya mengekang penularan jangkitan.

"Peningkatan kes akan menyebabkan kes kemasukan hospital meningkat sehingga mencecah 1.51 juta bersamaan dengan 1.7 kali ganda dan pada masa yang sama bilangan kes kematian juga menunjukkan peningkatan 67,000 bersamaan dengan 1.0 kali ganda daripada kes sebenar yang dilaporkan pada akhir tahun 2022.

"Kerajaan Malaysia telah berjaya menguruskan pandemik COVID-19 menerusi pendekatan multi strategi. Penglibatan pelbagai kementerian dan agensi telah memainkan peranan penting dalam membantu memerangi penularan wabak COVID-19," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Katanya lagi, Lukanisman berkata salah satu faktor penting kepada kejayaan tersebut adalah proses pengurusan perolehan vaksin COVID-19, yang memberikan keutamaan kepada akses bagi memastikan bekalan diperolehi dengan segera demi menyelamatkan nyawa rakyat.

"Kementerian Kesihatan amat menghargai kerjasama untuk semua pihak yang tidak berbelah bagi dalam usaha memastikan keseimbangan antara kesihatan rakyat dan kerancakan semula aktiviti ekonomi serta menarik kemasukan pelabur asing ke Malaysia dapat dipelihara," ujarnya.