KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ) mengesahkan telah melengkapkan kertas siasatan terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan pengendalian projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

SPRM dalam kenyataannya pada Khamis berkata kertas siasatan berkenaan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan daripada SPRM untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.

"Seterusnya, SPRM akan menerima arahan lanjut hasil daripada kajian Pejabat Peguam Negara terhadap kertas siasatan tersebut," ujar SPRM dalam kenyataan tersebut.

Terdahulu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu menggesa agar SPRM menyegerakan siasatan selain meminta Peguam Negara membuat pendakwaan jika terdapat bukti kukuh berkaitan isu kapal tempur LCS. 

BACA: Kerajaan arah siasatan segera skandal LCS

Khamis lepas, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 Nov 2020 mendapati tiada satu kapal LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek itu yang diberikan secara rundingan terus bernilai RM6.083 bilion itu memperuntukkan lima kapal seharusnya disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022.

Projek ini adalah merupakan perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, dengan kos keseluruhan RM9 bilion.

Kontrak bagi projek kapal berkenaan telah bermula 2013 dan sepatutnya siap dalam masa 10 tahun.