Polis Pulau Pinang sedang melengkapkan siasatan berhubung satu video, yang didakwa menunjukkan Ketua Menteri Lim Guan Eng menghasut kanak-kanak untuk membenci kerajaan dalam satu program pelancaran kelas tuisyen di Jelutong di sini, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan memanggil Lim minggu depan untuk merekodkan keterangannya bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

"Siasatan kes itu masih berjalan dan beberapa pihak telah dipanggil untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan... beliau (Lim) mungkin akan dipanggil minggu depan (untuk direkodkan keterangan) tetapi ia bergantung kepada siasatan polis.

"Kami akan cuba siapkan kertas siasatan dalam masa terdekat," kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-211 peringkat Kontinjen Polis Pulau Pinang, di sini pada Ahad.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia 1998.

Setiausaha Agung DAP itu disiasat polis susulan laporan terhadapnya yang mendakwa beliau mengindoktrinasikan kanak-kanak dengan politik kebencian apabila mengejek Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam parodi lagu 'A, B, C'.

Klip video berdurasi 32 saat itu menunjukkan Lim menari sambil mengejek GST pada pelancaran pusat tuisyen di Jelutong pada 17 Mac lepas.

Terdahulu, Roslee dalam ucapannya berkata sejak Januari hingga 20 Mac lepas, seramai 2,751 individu ditahan bagi kesalahan narkotik membabitkan hasil sitaan sebanyak RM3.4 juta.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang turut berjaya membongkar tiga makmal memproses heroin, ekstasi dan syabu selain Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang menumpaskan sindiket 'Love Scam/African'.

Bagi sindiket 'Love Scam/African' itu, seramai 17 individu masing-masing 12 lelaki dan seorang wanita warganegara Nigeria, dua lelaki dan seorang wanita India serta seorang wanita Cina ditahan.

"Polis turut merampas pelbagai dokumen, peralatan dan kad ATM daripada 17 individu itu," katanya.

-- BERNAMA