Skip to main content

Malaysia

Kerugian penipuan dalam talian cecah RM2.97 bilion tahun lepas - KPN

KUALA LUMPUR 30 APRIL 2026. Ketua Polis Negara , Datuk Seri Mohd Khalid Ismail pada sidang media berikutan  Operation Cyber Guardian 2026 bagi menangani jenayah eksploitasi seksual kanak kanak atas talian di Dewan Theatrette, Bukit Aman. Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata daripada jumlah itu, penipuan pelaburan tidak wujud merekodkan nilai kerugian tertinggi sebanyak RM1.47 bilion. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian pada 2025 mencecah RM2.97 bilion, meningkat RM1.40 bilion berbanding RM1.57 bilion pada tahun sebelumnya, menunjukkan trend jenayah siber yang semakin membimbangkan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata daripada jumlah itu, penipuan pelaburan tidak wujud merekodkan nilai kerugian tertinggi sebanyak RM1.47 bilion.

Beliau berkata sebanyak 66,204 kes jenayah penipuan dalam talian direkodkan pada 2025, meningkat 87 peratus berbanding 35,368 kes pada 2024.

“Penipuan melalui panggilan telefon (phone scam) kekal sebagai ancaman utama dengan 28,388 kes dilaporkan pada 2025,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran “Perangi Scam: Dua Pasukan, Satu Matlamat” di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Bhd Tan Sri Tay Ah Lek, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa serta pengarah-pengarah jabatan Bukit Aman.

Mohd Khalid berkata angka yang direkodkan itu bukan sekadar statistik, sebaliknya melibatkan ribuan mangsa yang kehilangan sumber pendapatan dan masa depan akibat diperdaya sindiket penipuan.

Beliau berkata dalam era pendigitalan yang berkembang pesat, sindiket penipuan sentiasa memperbaharui taktik dan modus operandi dengan mengeksploitasi kemajuan teknologi serta kecanggihan platform komunikasi moden.

“Justeru, usaha pencegahan, pendidikan dan pembudayaan kesedaran keselamatan digital kini menjadi keutamaan yang mendesak dan perlu diperkasakan secara berterusan,” katanya.

Mohd Khalid turut menyambut baik pelaksanaan Program PB Scam Rangers, iaitu hasil kerjasama strategik antara JSJK dan Public Bank Bhd yang disifatkan sebagai langkah progresif dalam memperkukuh literasi kewangan dan keselamatan siber dalam kalangan masyarakat.

“Melalui pendekatan yang berfokus kepada pendidikan awam, kita mampu membentuk masyarakat yang lebih peka, berpengetahuan dan mempunyai daya tahan tinggi terhadap pelbagai bentuk manipulasi jenayah penipuan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement