KUALA LUMPUR: Sebanyak 95,638 kes jenayah penipuan dalam talian direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2025 hingga Mei tahun ini, membabitkan kerugian keseluruhan mencecah RM3.8 bilion.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 66,204 kes direkodkan sepanjang tahun lalu dengan nilai kerugian RM2.97 bilion.
Beliau berkata, bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 29,434 kes dilaporkan membabitkan kerugian melebihi RM827.73 juta.
"Kerugian itu berpunca daripada pelbagai modus operandi sindiket penipuan dalam talian, termasuk phone scam, love scam, penipuan e-dagang, penipuan e-kewangan, selain sindiket pinjaman dan pelaburan tidak wujud," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai statistik terkini kes penipuan dalam talian bagi tahun 2025 dan tahun ini serta kadar pemulihan dana mangsa.
Mengulas mengenai usaha pemulihan dana mangsa, Saifuddin berkata, bagi tahun 2025 sebanyak RM6.65 juta, iaitu 38 peratus daripada keseluruhan RM17.49 juta wang yang disita, berjaya dipulangkan kepada mangsa.
"Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini pula, sebanyak RM3.57 juta atau 49 peratus daripada RM7.25 juta dana yang disita berjaya dipulangkan semula kepada mangsa.
"Peningkatan kadar pemulangan dana itu menunjukkan keberkesanan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam mempercepatkan tindakan menyelamatkan dana mangsa, sekali gus mencerminkan tahap kepercayaan orang ramai terhadap fungsi pusat respons berkenaan yang semakin meningkat," katanya.