Kes 1MDB: Laungan 'Bebas Najib’ bergema di pekarangan mahkamah

Penyokong Najib Razak hadir ke Komplek Mahkamah Putrajaya hari ini sebagai tanda sokongan terhadap bekas Perdana Menteri itu. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA : Kira-kira seramai 50 penyokong Datuk Seri Najib Razak berhimpun di pekarangan Kompleks Mahkamah Putrajaya, di sini, hari ini bagi mengikuti keputusan kes melibatkan bekas Perdana Menteri itu.
Najib ketika ini berdepan empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion, dengan keputusan sama ada beliau dibebaskan atau disabitkan kesalahan menjadi tumpuan utama.
Suasana perhimpunan agak tenang namun sekumpulan penyokong melaungkan slogan “Bebas Najib" dan "Bebas Bossku" sebagai tanda sokongan terhadap Najib.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, penyokong hadir seawal pagi dari beberapa negeri termasuk Perak, Pahang dan Kelantan.
Ahli Jawatankuasa UMNO Pandan, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, berpandangan, Najib wajar dibebaskan dan dilepaskan daripada semua pertuduhan kerana mendakwa perbicaraan yang berlangsung tidak memberikan keadilan sewajarnya.
Menurut beliau, saksi utama yang sering dikaitkan dengan kes berkenaan, iaitu Low Taek Jho atau Jho Low, masih belum dapat dikesan oleh pihak berkuasa walaupun disifatkan sebagai individu penting dalam skandal tersebut.
“Bagaimana skandal sebesar ini hanya mengheret seorang individu, iaitu Datuk Seri Najib, sedangkan saksi utama masih gagal dikesan. Ini tidak logik dan sukar diterima,” katanya.
Beliau turut mendakwa kes berkenaan bersifat penganiayaan politik dan bertujuan menamatkan kerjaya politik Najib, sekali gus berharap mahkamah dapat bertindak secara adil dengan membebaskan bekas perdana menteri itu daripada semua pertuduhan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib berkaitan Titah Adendum yang dikemukakan bagi membolehkan beliau menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Mengikut pertuduhan, bekas Presiden UMNO itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.
Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Beliau kemudiannya memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun dengan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


