Kes Altantuya: Australia masih belum dapat permintaan ekstradisi Sirul - Duta

Luqman Hariz
Julai 10, 2018 12:58 MYT
Pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pihak pendakwa dan memutuskan bahawa Sirul (menutup kepala) dan Azilah bersalah dan menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap mereka. - Gambar fail
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski mengesahkan Malaysia masih belum membuat sebarang permintaan rasmi untuk mengekstradisi bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Umar dari Australia.
Ini sekaligus menafikan beberapa laporan sebelum ini yang mendakwa Australia telah meluluskan permohonan Malaysia untuk mengekstradisi Sirul.
“Baru-baru ini Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia masih belum membuat sebarang permohonan rasmi untuk ekstradisi.
“Setahu saya, tiada apa yang berubah setakat ini. Tetapi Australia sedia memberi kerjasama kepada Malaysia sepenuhnya,” kata Goledzinowski.
BACA: Saya tak tahu kandungan surat Sirul kepada Dr Mahathir - Khairuddin
BACA: Petunjuk jelas baharu sudah ada dalam negara - Ramkarpal
BACA: 'Belum ada permohonan ekstradisi dari Malaysia untuk Sirul' - PM
Sebuah portal atas talian sebelum ini mendakwa kelulusan Australia diperolehi selepas Malaysia bersetuju untuk membiayai kos ekstradisi Sirul.
“Saya dijadualkan bertemu Peguam Negara (Tommy Thomas) pada Jumaat, mungkin perkara ini akan dibincangkan,” katanya sambil menambah pertemuan tersebut bersifat umum dan bukan khas untuk membincangkan ekstradisi Sirul.
Pada April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul dan Cif Inspektor Azilah Hadri selepas mendapati mereka bersalah membunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 20 Oktober 2006.
Manakala pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul serta membebaskan mereka daripada tuduhan itu.
Bagaimanapun pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pihak pendakwa dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan serta memutuskan bahawa Sirul dan Azilah bersalah dan menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.
#Altantuya Shaariibuu #Mahathir Mohamad #mahkamah #Mahkamah Persekutuan #Mahkamah Rayuan #Malaysia #mati #Peguam Negara #Sirul Azhar Umar