Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Kes anak Rafizi diserang: 6 individu diambil keterangan - Polis

Umavathi Ramayah 14/08/2025 | 08:50 MYT
Shazeli Kahar (tengah) berkata, polis setakat ini sudah merakam keterangan enam individu termasuk Rafizi Ramli. - Foto Astro AWANI/ Shahir Omar
SHAH ALAM: Polis setakat ini sudah merakam keterangan enam individu termasuk Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan isterinya, berhubung insiden serangan ke atas anak tunggal pasangan itu di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, pada Rabu, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.


Ringkasan AI
  • Polis telah merakam keterangan enam individu termasuk Datuk Seri Rafizi Ramli dan isterinya berhubung insiden serangan terhadap anak mereka di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
  • Siasatan awal melalui rakaman CCTV memberi petunjuk berguna, dan kes disiasat di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 324 dan 352 Kanun Keseksaan.
  • Polis belum menerima laporan rasmi mengenai mesej ugutan yang diterima isteri Rafizi melalui WhatsApp, namun menggesa laporan dibuat bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.


"Setakat ini, enam rakaman percakapan saksi diambil, termasuk Datuk Seri Rafizi, isteri dan beberapa individu lain," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Khamis.

Selain itu, Shazeli berkata, pihaknya juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian yang memberi petunjuk awal kepada siasatan.

"Alhamdulillah, siasatan awal melalui rakaman CCTV memberi sinar dan bantuan kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan," ujarnya lagi.

Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 352 kanun sama.

Mengulas mengenai ugutan yang didakwa diterima isteri Rafizi melalui aplikasi WhatsApp, Shazeli berkata polis setakat ini belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung perkara itu.

“Kita minta laporan polis dibuat supaya ia menjadi rekod rasmi dan dapat membantu sekiranya tindakan lanjut perlu diambil.

"(Namun) apa sahaja maklumat yang diterima akan disiasat, (laporan itu cuma) bagi mengesahkan kesahihannya," katanya.

Rafizi pada Rabu memaklumkan, anak dan isterinya baru memasuki kereta untuk beredar dari lokasi kejadian sebelum kanak-kanak berusia 12 tahun itu tiba-tiba ditarik serta dicucuk dengan jarum suntikan.

Semakan awal mendapati, dua lelaki menaiki motosikal mengekori kereta isterinya yang mana kedua-dua suspek berpakaian serba hitam dan bertopi keledar penuh, dipercayai menunggu sebelum menyerang.




#Rafizi Ramli #Kanak-kanak #serangan anak #suntikan #terkini