Dua lelaki termasuk seorang warga tempatan ditahan selepas disyaki menjadi pelanggan dalam satu kes bapa merogol dan melacur anak kandungnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, jumlah keseluruhan tangkapan seramai lapan suspek termasuk bapa kepada remaja perempuan berusia 13 tahun itu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 376B/372 Kanun Keseksaan & Seksyen 43(1)(a) Akta Kanak-Kanak.

"Kertas siasatan telah dibincangkan dengan Timbalan Pendakwa Raya Selangor dengan cadangan untuk tindakan diambil dibawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia (ATIPSOM) 2007 di samping Kanun Keseksaan dan dipersetujui.

"Kesemua suspek ditangkap dan disiasat dibawah ATIPSOM," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

BACA: Bapa kandung rogol, lacurkan anak sendiri

Mengulas lanjut, Fadzil berkata kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Kajang pada Sabtu ini (25 Julai) untuk permohonan reman baharu.

Ujar Fadzil lagi, bagi sesiapa yang mempunyai maklumat maklumat lanjut berhubung kejadian ini atau sebarang kes seperti ini, diminta berhubung dengan mana-mana balai polis yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Asp S. Vekram S. Sinnayah di talian 0194737108 @ 03-89114222.

Terdahulu, media melaporkan remaja perempuan berkenaan dirogol sejak berusia 10 tahun dan dilacurkan bapa kandungnya pada pertengahan 2019 hingga Februari lalu sebelum ibu saudara mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu.