KEMAMAN: Polis memburu seorang lelaki dipercayai terlibat dengan kes rogol seorang remaja perempuan di bawah umur.

Ia susulan daripada kes pembunuhan bayi lelaki yang baru dilahirkan pada Selasa di sebuah rumah di daerah Kemaman, membabitkan gadis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata suspek berusia lingkungan 20-an itu juga dipercayai teman lelaki kepada remaja perempuan tersebut yang dikatakan ibu kepada bayi terbabit.

Menurut Hanyan, kedua-dua suspek dikatakan saling mengenali sejak setahun yang lalu.

Beliau meminta suspek untuk tampil menyerah diri ke balai berdekatan bagi membantu siasatan.

“Suspek (remaja perempuan) telah membuat satu laporan polis pada hari semalam, 8 Februari, jam 6:00 petang mendakwa beliau telah dirogol dan satu siasatan kes di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan juga dibuka.

“Pihak polis sedang berusaha untuk mengesan seorang lelaki untuk siasatan di bawah Seksyen 376 ini,” jelasnya.

BACA: Bayi ditemui maut dengan kesan tikam di dada

BACA: Bayi maut ditikam: Remaja 15 tahun direman di Hospital Kemaman

Pada Selasa, seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui mati dengan kesan tikam di bahagian kiri dada di sebuah rumah di daerah Kemaman, Terengganu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 hingga 9 pagi itu, bayi tersebut dikatakan ditikam dengan objek tajam oleh seorang remaja perempuan 15 tahun dipercayai ibunya.