Kes 'blood clotting' akibat vaksin AstraZeneca amat rendah, selamat untuk warga emas - Dr Kalairasu

Firdaus Azil
April 26, 2021 14:28 MYT
Dr Kalairasu berkata, berdasarkan data yang diperolehi, hanya 7.9 kes darah beku dalam setiap juta vaksin AstraZeneca yang diberikan. - Gambar fail/ Reuters
PUTRAJAYA: Jumlah kes pembekuan darah (blood clotting) di kalangan pesakit COVID-19 berusia 60 tahun ke atas, selepas menerima vaksin Vaxzevria keluaran AstraZeneca adalah sangat rendah, kata Dr Kalairasu Peariasamy.
Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Institut Kesihatan Negara itu berkata, data yang dikumpul dan dikaji oleh panel terdiri daripada 22 pakar di negara ini, jelas menunjukkan kebaikannya jauh melebihi kemudaratan, khususnya berkaitan dakwaan kes pembekuan darah.
Dr Kalairasu, yang juga Pengerusi, Jawatankuasa Kecil Pemilihan Calon Vaksin COVID -19 (JKKPCV) KKM, berkata, kesemua data dan syor telah pun diserahkan kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan COVID-19 (JKJAV), untuk dimuktamadkan penggunaan vaksin berkenaan.
“Sebanyak 168 kes thrombosis dengan sindrom thrombocytopenia yang amat jarang berlaku dikesan sejak Mac lalu, manakala kira-kira 21.6 juta individu sudah menerima vaksin AstraZeneca di seluruh dunia.
"Insiden ini dikira hampir 7.9 dalam setiap juta vaksin diberi. Bilangannya amat-amat kecil jika dibandingkan dengan bilangan dos yang diberi,” katanya sewaktu Sesi Libat Urus Media Mengenai Vaksin, di Putrajaya hari ini.

Data-data dari negara lain tentang AstraZeneca akan sentiasa diteliti sebelum keputusan dibuat untuk menggunakan vaksin ini kepada peringkat umur yang lain. @drkalai61 Pengarah, Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia pic.twitter.com/7vemwdcyDj

— Vaksin COVID-19 (@JKJAVMY) April 26, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Turut menghadiri sesi libat urus itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, dan beberapa pakar kesihatan lain, termasuk ada di antara mereka yang menyertainya secara maya.
Awal hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, vaksin COVID-19 AstraZeneca selamat untuk digunakan dalam pelaksanaan fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Tambahnya lagi, vaksin tersebut akan diberikan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas dalam fasa kedua ini.
Dalam pada itu, Dr Kalairasu berkata, JKKPCV akan terus meneliti data dari negara-negara lain berhubung penggunaan vaksin AstraZeneca untuk golongan dewasa yang berusia 18 dan 40 tahun ke atas.
#Dr Kalairasu Peariasamy #AstraZeneca #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #vaksin #darah beku #vaksin selamat #Kementerian Kesihatan #Putrajaya #Media #KKM #Twitter #warga emas #Malaysia #COVID-19