PADANG TERAP: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesahkan bahawa enam pelajar sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak yang terlibat di dalam kes buli beberapa hari lalu, digantung persekolahan serta-merta selama dua minggu.

Menurutnya, pihak Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) juga telah mengemukakan cadangan bagi menamatkan pengajian keenam-enam pelajar berkenaan di institusi terbabit.

Tambah beliau, menerusi laporan yang diterima, enam pelajar didapati terlibat dalam memukul mangsa, manakala empat lagi pelajar berada di lokasi kejadian selain didapati bersubahat dan telah melakukan provokasi.

Kes Buli | MRSM gantung enam pelajar serta merta

Mahdzir turut menyatakan bahawa JDM juga sebelum ini telah memanggil 10 pelajar itu yang mana kesemua mereka berada di Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 3.

"JDM telah mencadangkan (dan membuat keputusan) supaya (enam) pelajar (yang telah memukul mangsa) ini digantung persekolahan selama dua minggu dan (turut) dicadangkan (untuk) tamatkan pengajian (mereka) di MRSM.

"(Sebenarnya dalam nak mengekang masalah buli) kena ada pelan jangka pendek dan jangka panjang di peringkat MRSM itu, benda ini memang sudah berlaku dan kes macam ini memang serius, jadi ia memang tidak patut berlaku.

"Jadi JDM, akan (turut) bawa kes ini ke Jawatankuasa Disiplin dan Rayuan Maktab, itu adalah keputusan (yang dicapai setakat ini)," katanya di sini hari ini

[TERKINI] Dua lagi ditahan, jumlah suspek kini enam orang


Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mahdzir menegaskan bahawa pihaknya tidak akan mencampuri urusan siasatan yang dijalankan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaliknya akan melalukan siasatan di peringkat dalaman.

BACA: Dakwaan buli: Dua lagi pelajar ditahan

Kejadian yang berlaku juga disifatkannya sebagai malang kepada MRSM yang banyak mempunyai pelajar yang cemerlang dari segi sahsiah serta akademik selain telah melalui pelbagai saringan sebelum diterima masuk ke institusi itu.

Beliau turut menzahirkan rasa kecewa terhadap perbuatan berkenaan selain mengharapkan ianya tidak berulang pada masa akan datang.

Pada Jumaat, Polis menahan enam suspek kes buli yang didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, seperti yang tular di media sosial Khamis lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kesemua suspek berusia 13 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan berkaitan kes berkenaan kira-kira 6 petang.

Terdahulu,tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai, tular di media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, hingga menerima kecaman orang ramai.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 1 hingga 2 pagi pada 9 Disember melibatkan tujuh suspek remaja dan seorang mangsa yang kesemuanya berusia 13 tahun.

Susulan itu, pihak polis memanggil kesemua pelajar terlibat dan pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.