Skip to main content

Teknologi

Sony, TSMC meterai MOU tubuh usaha sama bangunkan sensor CMOS generasi baharu

71643766390_sony.jpg
Kerjasama tersebut menggabungkan kepakaran Sony dalam reka bentuk sensor pengimejan dengan teknologi proses pembuatan dan keupayaan pengeluaran semikonduktor termaju milik TSMC, bagi meningkatkan prestasi sensor seiring keperluan teknologi masa hadapan. -Gambar fail

KOSHI: Sony Semiconductor Solutions dan Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) mengumumkan pemeteraian memorandum persefahaman tidak mengikat bagi menubuhkan usaha sama untuk membangunkan dan mengeluarkan sensor pengimejan CMOS generasi baharu di Jepun.

Menerusi perjanjian awal itu, kedua-dua pihak merancang untuk mewujudkan garisan pembangunan dan pengeluaran khusus di kilang baharu Sony yang terletak di bandar Koshi, wilayah Kumamoto, dengan Sony sebagai pemegang kepentingan majoriti dan pengawal usaha sama berkenaan.

Kerjasama tersebut menggabungkan kepakaran Sony dalam reka bentuk sensor pengimejan dengan teknologi proses pembuatan dan keupayaan pengeluaran semikonduktor termaju milik TSMC, bagi meningkatkan prestasi sensor seiring keperluan teknologi masa hadapan, lapor Amanz.

Selain itu, Sony dan TSMC turut mempertimbangkan pelaburan tambahan serta penaiktarafan berperingkat di fasiliti pengimejan sedia ada Sony di Nagasaki, tertakluk kepada permintaan pasaran global dan sokongan kerajaan Jepun.

Kedua-dua syarikat turut memaklumkan bahawa usaha sama berkenaan akan meneroka peluang dalam aplikasi kecerdasan buatan fizikal, khususnya bagi kegunaan industri automotif dan robotik yang semakin memerlukan sistem penderiaan berprestasi tinggi.

Setakat ini, tarikh pengoperasian rasmi kilang di Koshi serta perincian teknologi cip yang akan digunakan masih belum didedahkan.

Penubuhan usaha sama itu masih tertakluk kepada pemeteraian perjanjian muktamad dan kelulusan syarat penutupan lazim.

Must Watch Video