IPOH: Mangsa buli melibatkan pelajar Tingkatan Satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar telah menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa berusia 13 tahun itu menerima rawatan lanjut di sebuah hospital di Selangor.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan doktor, mangsa ada mengalami kecederaan tisu lembut dalam badan.

"Keadaannya stabil, namun masih dirawat di hospital untuk pemantauan doktor," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, bapa pelajar berkenaan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Selangor.

"Keterangan mangsa telah diambil untuk membantu polis melengkapkan kertas siasatan kes ini," katanya.


Kes Buli | MRSM gantung enam pelajar serta merta

BACA: Kes buli MRSM: 4 lagi ditahan, 6 pelajar dibebaskan

Mior Faridalathrash dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan seramai 10 pelajar lelaki telah dipanggil untuk beri keterangan bagi membantu siasatan kes itu.

Daripada 10 yang dipanggil itu, sembilan pelajar berusia 13 tahun manakala seorang berusia 15 tahun, kesemua mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan.

Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes itu di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.


Gejala Buli | Bilangan kanak-kanak yang bimbang dibuli
 

Artikel asal disiarkan di Sinar Harian: Mangsa buli dirawat di hospital, alami kecederaan tisu lembut