Bermula dengan blog dan kini laman media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram, terdapat pelbagai platform untuk individu meluahkan perasaan mereka.
Ada yang menggunakannya untuk kebaikan dan berkongsi maklumat. Namun ada juga yang terlebih emosi dan memilih untuk mengancam, memalukan dan menakutkan seseorang dalam medium elektronik.
Kumpulan “keyboard warriors” tidak perlu diperkenalkan lagi. Mereka hanya lantang bersuara di hadapan komputer atau peranti mereka.
Ada yang memilih untuk merahsiakan identiti mereka, seolah mereka rasa selamat selepas membuat sesuatu kenyataan di media sosial.
Statistik daripada Kumpulan Tindakan Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) melaporkan terdapat 516 aduan mengenai gangguan siber pada tahun ini (sehingga November). Pada 2013, MyCERT menerima 512 aduan.
Namun pada 2012, MyCERT menerima hanya 300 aduan untuk gangguan siber.
Bagi anda, ini hanyalah angka yang melibatkan individu-individu yang mungkin anda tidak kenali.
Sebagai ahli komuniti media sosial, adakah anda peduli?
2014 dan kes buli siber
Beberapa kes siber buli mendapat liputan luas media cetak dan elektronik tanah air pada tahun ini.
Nama seperti Sheena Liam dan Kiki terus hangat bukan sahaja di media sosial tetapi di media arus perdana juga.
Sheena Liam menjadi mangsa buli susulan kemenangan beliau dalam program 'Asia's Next Top Model' -Gambar: Twitter/Asia's Next Top Model & Instagram/Sheena Liam
Susulan kemenangan model Malaysia Sheena Liam dalam program ‘Asia’s Next Top Model’ musim kedua, beliau dikecam oleh peminat program berkenaan khususnya yang berasal dari Filipina.
Ini kerana, Sheena menewaskan dua peserta dari Filipina untuk menjadi juara.
Mereka mengkritik Sheena yang mereka rasakan tidak layak untuk menang. Mereka turut mengeluarkan kata-kata kesat di laman Instagram milik Sheena.
Video 'Gadis Pailang' trending pada bulan Jun walaupun kejadian berlaku pada bulan April. -YouTube
Tahun 2014 turut menyaksikan beberapa aksi buli yang dirakam dan disebarkan di media sosial menjadi trending. Antaranya aksi tiga pelajar perempuan yang dikenali sebagai “Gadis Pailang”. Kejadian itu berlaku pada bulan April, namun video itu mula tersebar luas di media sosial pada bulan Jun.
Ketiga-tiga pelajar berkenaan yang berusia 16 tahun dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Hajah Laila Taib dituduh melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan kepada seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dari sekolah yang sama.
Mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Samarahan dan dihukum menjalani pemulihan di tiga Sekolah Tunas Bakti berasingan selama dua tahun.
Berita ini terus hangat di media sosial sehingga ada yang menunding jari dan ada yang mahu menghukum sendiri ketiga-tiga pelajar berkenaan.
Walaupun mereka didapati bersalah, namun ada segelintir pengguna media sosial terus menghukum mereka.
Video Kiki mengamuk menjadi perbualan hangat dan maklumat peribadi Kiki tersebar luas di internet. -Gambar: Foto Bernama & YouTube
Pada bulan Julai, nama Kiki, atau nama penuhnya Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin, terus menjadi hangat susulan tindakan beliau yang mengamuk setelah keretanya dilanggar seorang warga emas yang dikenali sebagai Sim Siak Hong.
Video insiden berkenaan dimuat naik di media sosial dan Kiki terus mendapat kritikan orang ramai. Namun, Kiki sendiri menjadi mangsa buli siber oleh kerana maklumat peribadinya dan perniagaannya tersebar luas di Twitter dan Facebook. Ada yang mahu mencari beliau dan memberikan pengajaran.
Kiki dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan melakukan kerja komuniti selama 240 jam di Mahkamah Sesyen.
Satu lagi video disebarkan di internet pada bulan November. Hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada 2011. Gambar: YouTube
Satu lagi video aksi buli melibatkan pelajar menjadi viral pada November. Sekumpulan pelajar asrama lelaki dibuli oleh pelajar lain yang diketuai seorang remaja lelaki memakai singlet hitam.
Terdapat khabar angin ia melibatkan pelajar-pelajar dari sebuah sekolah di Sarawak. Namun setelah siasatan dilakukan, kejadian berlaku di sebuah sekolah di Pontian, Johor pada Ogos 2011.
Apa kata pakar media sosial?
Dalam satu sesi Google Hangout, pengasas bersama EYE Project Christopher Tock berkata pengguna media sosial perlu lebih matang, terutamanya mereka yang masih muda.
“Kita dari Generasi-Y masih okey kerana kita tahu membuat penapisan sendiri (self-censorship). Tetapi untuk generasi baru, mereka hidup dalam media sosial. Mereka tidak tahu melakukan self-censorship sebelum meluahkan perasaan dan ini menimbulkan kes-kes seperti Sheena Liam dan Kiki,” katanya.
Beliau turut akui bahawa rakyat Malaysia suka berkongsi kandungan kontroversi.
Namun apabila kita mahu kongsi kandungan berkenaan, Chris berharap ia bertutujuan untuk positif.
“Bila saya kongsi kandungan saya akan tanyakan soalan ini: ‘Adakah perkara yang saya akan kongsikan ini ada mesej positif? Atau adakah saya akan kongsi kandungan ini dengan emosi dan mahu kenakan semua orang?’
“Inilah bezanya pengguna media sosial yang matang dan yang tidak matang,” tambah Chris.
Saksikan temu bual penuh:
Sesi Google Hangout bersama pengasas bersama EYE Project Christopher Tock.
Perunding media sosial Zain HD, ketika dihubungi Astro AWANI, berkata trend buli siber membimbangkan kerana ia bagaikan sudah menjadi suatu perkara yang biasa dan diterima oleh masyarakat.
“Ia seakan boleh dikatakan kini menjadi budaya kami,” katanya.
Tambah Zain pada sudut positif pula, kerana kejadian membuli ini semakin berlebihan, ada beberapa pihak yang sering mengingatkan orang lain supaya jangan berkelakuan seperti ini.
“Kerana berlebihan, ada juga pihak yang tidak mengambil kisah bila berlakunya perkara seperti ini kerana setiap kali mereka perhatikan, iaitu pada hakikatnya, ini adalah kelakuan yang kecil, tidak munasabah dan akan dilupakan dalam masa yang singkat,” katanya.
Adakah gejala buli siber semakin diterima oleh masyarakat? -Gambar fail
Media sosial dan 2015
Melihat ke hadapan, Zain mengharapkan agar budaya bertanggungjawab sebati dalam jiwa pengguna media sosial Malaysia.
“Saya rasa pada hakikatnya ramai yang sedar kepada unsur untuk bertanggungjawab bila di media sosial. Ramai yang rasa perkara ini remeh, tetapi apa seseorang yang lakukan, dan diikuti ramai, lama-kelamaan akan jadi budaya yang diterima.
“Kita harus sedar yang setiap individu adalah penyerta dalam masyarakat. Apa yang baik atau kurang baik yang dilakukan, akan mengharumi atau mencemari masyarakat,” kata Zain.