Kes buli: Wajar lantik warden asrama dalam kalangan pesara polis, tentera - Lee Lam Thye

Harits Asyraf Hasnan
Disember 12, 2021 05:03 MYT
Lee Lam Thye berpandangan, guru mempunyai pelbagai komitmen lain yang perlu diberikan fokus terutama proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Cadangan supaya warden asrama dilantik dalam kalangan pesara tentera atau polis adalah wajar dipertimbang oleh pengurusan sekolah berasrama.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berpandangan, guru mempunyai pelbagai komitmen lain yang perlu diberikan fokus terutama sewaktu pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
"Salah satu perkara yang boleh dipertimbang oleh pihak pengurusan sekolah berasrama adalah untuk melantik warden, misalnya yang mempunyai latar belakang atau daripada bekas tentera atau polis.
"Ini kerana, mereka mempunyai pengalaman dan mampu menegakkan disiplin.
"Saya percaya, mereka tahu bagaimana mereka boleh melakukan tugas dengan lebih berkesan untuk memastikan disiplin dalam kalangan para pelajar di sekolah berasrama," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.
Buli | Normalisasi buli perlu dihentikan
Cadangan dikemukakan beliau susulan tular di media sosial satu kes buli yang dilaporkan berlaku di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Lam Thye turut berpandangan penguatkuasaan disiplin terutama di sekolah berasrama perlu dipertingkatkan terutama melibatkan proses pemantauan.
Kes Buli | Empat lagi ditahan, enam pelajar dibebaskan – Polis
Selain memupuk budaya penyayang di sekolah, beliau juga berharap budaya keganasan perlu dikikis termasuk menilai semula proses orientasi di sekolah berasrama.
Pada masa sama, beliau mahu kelab pencegahan jenayah di sekolah-sekolah kembali digiat aktif selain dan berfungsi dengan sewajarnya.
#buli #warden asrama #disiplin sekolah #Lee Lam Thye