Tempoh reman tiga suspek yang ditahan berhubung kes bunuh kanak-kanak perempuan warga asing berusia enam tahun di hadapan pusat beli-belah di Jalan Memanda 3, Ampang, pada 11 Mei lalu dilanjutkan empat hari lagi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff memberitahu, polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Sebelum ini semua suspek direman tujuh hari yang tamat hari ini. Polis memohon lanjutan tempoh reman daripada mahkamah bagi membolehkan siasatan dilengkapkan," katanya di sini pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan mayat kanak-kanak perempuan yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu ditemui di hadapan kedai makan sebuah pusat beli-belah kira-kira pukul 9.50 pagi.

Mayat kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan terbaring dan masih berpakaian lengkap.

BACA: Kanak-kanak enam tahun mati dipercayai dipukul bapa tiri

Pemeriksaan badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam di beberapa bahagian anggota badan termasuk lengan dan badan.

Berdasarkan maklumat, polis berjaya menahan tiga individu iaitu bapa tiri mangsa serta dua wanita yang juga pemegang kad UNHCR di sebuah hotel di Jalan Memanda 5, Ampang Point, tidak lama kemudian.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah dipukul oleh bapa tirinya menggunakan objek keras dan tumpul kerana enggan makan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.