PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 14 Mac tahun depan untuk keputusan rayuan enam lelaki yang dihukum mati selepas mereka disabitkan dengan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, lapan tahun lepas.

Mereka ialah bekas pakar patologi Kolonel Dr R. Kunaseegaran, 60, pemberi pinjaman wang S. Ravi Chandaran, 52, serta empat penganggur iaitu R. Dinishwaran, 31, A.K. Thinesh Kumar, 30, M. Vishwanath, 33, dan S. Nimalan, 30.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan barisan peguam yang mewakili perayu.

Pada prosiding hari ini, peguam Datuk N.Sivananthan mewakili Dr Kunaseegaran manakala M.Manoharan mewakili Dinishwaran, Burhanudeen Abdul Wahid (Thinesh Kumar), Afifuddin Ahmad Hafifi (Vishwanath), Amer Hamzah Arshad (Nimalan) dan Kitson Foong (Ravi Chandaran).

Prosiding hari ini adalah yang terakhir bagi pendengaran rayuan kes itu selepas kedua-dua pihak berhujah pada 4 dan 7 Dis.

Pada 10 Julai 2020, kesemua tertuduh dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah membunuh Morais di sebuah lokasi sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 Sept 2015.

Morais, 55, dilaporkan hilang pada tarikh terbabit dan kali terakhir dilihat meninggalkan kondominium di Menara Duta, Kuala Lumpur untuk ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana.

Mayatnya ditemukan dalam tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 Sept 2015.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah (kini hakim Mahkamah Rayuan) berkata kesemua tertuduh mempunyai niat untuk membunuh mangsa dan mahkamah mendapati pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah mengenai penglibatan mereka dalam pembunuhan itu.

Terdahulu, Mohd Dusuki berhujah hukuman mati yang dijatuhi oleh Mahkamah Tinggi wajar dikekalkan terhadap perayu dan tiada sebab untuk Mahkamah Rayuan mengganggu dapatan itu.

"Penafian perayu-perayu berhubung fakta kes pendakwaan hanyalah suatu penafian kosong yang tidak disokong oleh apa-apa keterangan. Pembelaan bersifat penafian semata-mata yang dikemukakan nyata gagal menjawab fakta mengaitkan mereka dengan pembunuhan mangsa," katanya.

Mohd Dusuki berhujah dalang pembunuhan Kevin Morais tidak perlu dibuktikan kerana bukti-bukti mengikut keadaan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan sudah mencukupi untuk menunjukkan bahawa keenam-enam tertuduh telah membunuh mangsa.

"Secara keseluruhannya, keterangan ini apabila digabungkan mampu mewujudkan hanya satu inferens mengenai penglibatan perayu dalam menyebabkan kematian Kevin Morais. Sebagai dasarnya, ia mampu memberikan keyakinan bahawa perayu merupakan orang yang terlibat di dalam kes ini dan tiada langsung penglibatan individu lain.

Manoharan pula memohon mahkamah membuat keputusan berdasarkan fakta dan bukannya sentimen emosi.

"Kita pernah dengar kes pembunuhan melibatkan Ketua Polis serta hakim dan ini merupakan kali pertama pembunuhan membabitkan seorang Timbalan Pendakwa Raya namun tidak kira apa jua sentimen, mahkamah perlu membuat keputusan berdasarkan undang-undang," katanya.

Perkara itu turut disokong oleh peguam lain yang memohon agar sabitan anak guam mereka diketepikan dan jika kekal, pembelaan merayu agar hukuman mati digantikan dengan hukuman penjara.

-- BERNAMA