KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 2,437 kes baharu COVID-19 direkodkan sehingga jam 12 tengah hari Ahad.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 sebanyak 300,752 kes di negara ini sekali gus melepasi angka 300,000 kes.

Bagaimanapun, sebanyak 3,251 kes sembuh direkodkan dengan jumlah kumulatif kes telah sembuh sebanyak 273,417 kes setakat ini.

Jumlah kes aktif kebolehjangkitan pula jelasnya sebanyak 26,205 kes.

Daripada jumlah itu, sebanyak 202 kes kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 93 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

KKM turut mengesahkan sembilan kematian dicatatkan pada Ahad menjadikan jumlah kematian sebanyak 1,130 kes.

Negeri Selangor mencatatkan peningkatan kes berbanding sebelum ini sebanyak 914 kes, diikuti Johor 340 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 337 kes.

Turut mencatatkan peningkatan kes ialah negeri Perak sebanyak 287 kes, Sarawak 171 kes, Sabah 134 kes dan Pulau Pinang 105 kes.

Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Terengganu, Melaka pula mencatatkan kurang daripada 70 kes.

Wilayah Persekutuan Labuan bagaimanapun mencatatkan dua kes selepas sifar kes dilaporkan semalam.