KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu melihat trend peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak mutakhir ini sebagai satu perkara serius.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr. Rohaizat Yon menjelaskan disebabkan perkara tersebut, ibu bapa perlu membenarkan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun mendapatkan vaksin COVID-19.

Dr. Rohaizat menjelaskan, kerajaan meluaskan program vaksinasi COVID-19 kepada kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun ini bagi mengelak kanak-kanak tersebut mendapat kesan lebih serius akibat COVID-19 jika tidak divaksin.

Biarpun mengakui bahawa vaksinasi bukanlah jaminan kanak-kanak tidak akan dijangkiti COVID-19, namun Dr Rohaizat menegaskan ia adalah usaha untuk mengelak penularan COVID-19.

"Vaksinasi untuk kanak-kanak juga perlu sebab terdapat kanak-kanak yang mendapat gejala yang teruk, ada yang perlu mendapat rawatan di hospital, rawatan di ICU dan ada juga berlaku kematian.

"Terdapat kanak-kanak yang mendapat jangkitan COVID-19 terdedah kepada risiko MIS-C dan ada juga yang terdedah kepada Long Covid.

"Jadi ibu bapa perlu faham, bahawa kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun perlu mendapatkan vaksin bertujuan untuk mengelak dijangkiti COVID-19," katanya.

Beliau menjelaskan data-data di negara lain termasuk beberapa negara ASEAN, yang telah menjalankan program imunisasi terhadap kanak-kanak menunjukkan ia sangat bagus dan memberi perlindungan yang tinggi.

Kes COVID-19 melibatkan kanak-kanak semakin meningkat

Mengulas lanjut, Dr. Rohaizat menjelaskan kesan sampingan yang amat teruk adalah amat rendah dan kebanyakkan hanya mengalami demam biasa.

Beliau juga mengingatkan ibu bapa, selepas sesi persekolahan kembali dibuka dan pusat jagaan dibuka, kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun terdedah kepada jangkitan COVID-19.

"Kalau kita lihat kanak-kanak berusia 12 ke atas yang sudah divaksin risiko dijangkiti amat sederhana tetapi yang terdedah sekarang ini golongan 5 hingga 11 tahun.

"Kalau sebelum ini golongan 5 hingga 11 tahun ini dilindungi, sebab mereka tidak keluar, yang dijangkiti adalah mereka yang bekerja sebab itu ada kluster tempat kerja.

"Tetapi mulai Januari, kalau dilihat data COVIDnow, peningkatannya sangat tinggi," katanya lagi.

Dr. Rohaizat juga menjelaskan ibu bapa perlu memahami bahawa virus COVID-19 sangat aktif bermutasi dan disebabkan itu kanak-kanak perlu diberikan vaksin bagi mengelak dijangkiti COVID-19.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru yang disiarkan di saluran 501 dan astroawani.com pada Khamis.