KUALA LUMPUR: Tempoh pengasingan bagi individu positif COVID-19 dipendekkan kepada tujuh hari sekiranya lengkap vaksinasi dan tidak mengalami sebarang gejala.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, ketetapan baharu itu mula berkuat kuasa pada 16 Januari dan turut terpakai bagi kes positif yang sedang menjalani pengasingan ketika ini serta bagi semua jenis varian COVID-19.

Namun, bagi kes positif COVID-19 yang masih belum melengkapi suntikan vaksin atau mengalami gejala, tempoh pengasingan diri masih ditetapkan pada 10 hari.

“Berdasarkan data, sains dan pengalaman negara-negara lain berkaitan pengurusan kes positif COVID-19 dan kontak rapat kepada kes positif, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat penilaian semula tempoh pengawasan dan pemerhatian dan memutuskan ketetapan terkini,” menurut kenyataan Khairy hari ini.

Pada masa yang sama, perintah kuarantin bagi kontak rapat kepada kes positif COVID-19 turut dipendekkan kepada lima hari bagi individu yang telah menerima dos penggalak.

Manakala bagi individu yang telah menerima dua dos vaksin serta belum menerima vaksin penggalak, tempoh kuarantin ditetapkan selama tujuh hari.

“Sekiranya bergejala, lakukan ujian pengesanan jangkitan COVID-19 menggunakan RTK-Antigen sama ada kendiri atau ke fasiliti kesihatan berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut.”

Bagi kes kontak rapat yang telah menerima dos penggalak, mereka perlu menjalani ujian saringan RTK-Antigen pada hari ke-lima di bawah pemerhatian petugas kesihatan sebelum diberi pelepasan jika didapati negatif.

Meskipun dengan ketetapan baharu itu, jelas Khairy, KKM telah meningkatkan kesiapsiagaan sistem perkhidmatan kesihatan dalam menghadapi kemungkinan peningkatan kes susulan pelaporan kes jangkitan varian Omicron dalam negara.

"Oleh itu, KKM menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin COVID-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optima serta mengelakkan gejala jangkitan COVID-19 yang teruk serta komplikasinya," ujar Khairy.