KUALA LUMPUR: Sebanyak 22,413 kes COVID-19 dilaporkan sepanjang Minggu Epidemiologi ke-51 (ME 51/2023) iaitu bagi tempoh 17 hingga 22 Disember, berbanding 17,307 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan pada Sabtu berkata, ia mencatatkan peningkatan 29.5 peratus berbanding ME50.

Bagaimanapun, menurutnya jumlah kes kematian akibat COVID-19 menunjukkan penurunan 23.1 peratus iaitu daripada 26 kes kepada 20 kes.

"Secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan pada ME50 berbandng ME49 turut menunjukkan peningkatan.

"Bagi pengisian katil bukan kritikal meningkat kepada 1.5 peratus manakala pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat kepada 3.6 peratus," katanya.

Setakat 22 Disember, hanya 16,347,130 penduduk Malaysia atau 50.1 peratus telah menerima suntikan vaksinasi dos penggalak pertama dan 828,686 penduduk atau 2.5 peratus menerima dos penggalak kedua.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) katanya akan terus memantau situasi COVID-19 dan mengambil tindakan segera dan wajar apabila diperlukan.

Malah, KKM turut menasihatkan orang ramai agar mengamalkan penilaian dan kawalan kendiri yang baik.