NATIONAL
Kes COVID-19 di Selangor terkawal, catat penurunan - Exco

Jamaliah berkata menurut laporan itu jumlah kumulatif kes COVID-19 di Selangor bagi tahun ini sebanyak 3,807 kes iaitu penurunan ketara berbanding 14,542 kes bagi tempoh sama pada 2024. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Situasi jangkitan COVID-19 di Selangor dalam keadaan terkawal berdasarkan laporan terkini dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-19 2025, kata Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin.
Beliau berkata menurut laporan itu jumlah kumulatif kes COVID-19 di Selangor bagi tahun ini sebanyak 3,807 kes iaitu penurunan ketara berbanding 14,542 kes bagi tempoh sama pada 2024.
Beliau berkata trend mingguan juga menunjukkan penurunan berterusan sejak ME ke-12 hingga ke-19, dengan kes mingguan yang direkodkan kekal di bawah 100 kes.
"Ini sekali gus membuktikan usaha berterusan kerajaan negeri bersama JKNS serta kerjasama rakyat dalam mematuhi langkah pencegahan masih berkesan meskipun beberapa negara jiran ketika ini sedang merekodkan lonjakan semula kes COVID-19."Kerajaan negeri ingin menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan, fasiliti kesihatan awam dan swasta, serta masyarakat Selangor atas komitmen berterusan dalam mengekalkan kawalan situasi ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jamaliah berkata meskipun keadaan terkawal orang ramai dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mengutamakan langkah pencegahan, terutamanya golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan individu berpenyakit kronik, serta mendapatkan rawatan dengan segera jika terdapat simptom.
"Kerajaan negeri bersama JKNS akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa dan memastikan sistem kesihatan awam sentiasa bersiap siaga," katanya.
Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata kementeriannya akan terus memantau situasi COVID-19 dengan teliti, baik di peringkat antarabangsa mahupun dalam negara berikutan trend peningkatan kes dilaporkan di negara jiran seperti Thailand dan Singapura.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami