Kes Cradle Fund: Mahkamah Persekutuan kekalkan pembebasan Samirah, dua remaja

Panel hakim sebulat suara menolak rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Samirah serta kedua-dua remaja daripada pertuduhan tersebut. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan, lapan tahun lepas.
Ringkasan AI
- Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan.
- Panel tiga hakim menolak rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas mereka daripada pertuduhan tersebut.
- Mahkamah mendapati tiada kekhilafan dalam alasan pembebasan Samirah dan kedua-dua remaja dari pertuduhan tersebut.
Pada 8 Feb 2024, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepas dan membebaskan Samirah, 51, yang juga balu Nazrin, serta dua lagi remaja masing-masing kini berusia 20 dan 23 daripada pertuduhan tersebut.
Ketiga-tiga mereka dan seorang wanita rakyat Indonesia Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin, 45, di kediamannya di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi hari berikutnya.
Dalam penghakimannya, Abu Bakar berkata mahkamah mendapati tiada sebarang kekhilafan dalam alasan yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan ketika membebaskan Samihah serta kedua-dua remaja daripada pertuduhan tersebut.
"Berdasarkan hujahan bertulis dan lisan perayu serta responden, kami tidak dapat menyatakan pertuduhan dibuktikan secara prima facie di akhir kes pendakwaan.
"Pihak pendakwaan gagal membuktikan antara lainnya ketiga-tiga tertuduh mempunyai niat bersama untuk menyebabkan kecederaan yang akhirnya boleh menyebabkan kematian," katanya.
Beliau berkata keterangan ikut keadaan tidak membuktikan satu kes prima facie di akhir kes pendakwaan dengan wujudnya orang keempat di dalam rumah mangsa.
"Secara keseluruhannya, kami sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta menolak rayuan perayu," katanya.
Terdahulu, panel hakim berkenaan meminta penjelasan daripada pihak pendakwaan berhubung niat bersama ketiga-tiga responden untuk menyebabkan bencana tubuh kepada mangsa sehingga membawa kepada kematian.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah berkata ketiga-tiga responden merupakan individu terakhir bersama mangsa kerana mereka berada di dalam rumah yang sama pada malam kejadian.
"Kita memang tidak dapat membuktikan siapa yang melakukannya namun tiada keterangan yang menunjukkan rumah itu dipecah masuk,'' katanya.
Menjawab soalan Abu Bakar mengenai kewujudan individu lain dalam rumah terbabit yang tidak dipanggil memberi keterangan, Mohd Asnawi berkata usaha telah dilakukan untuk mengesan wanita itu namun gagal.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Samirah dan kedua-dua remaja, pula berhujah wanita itu bukannya gagal dikesan kerana dia masih bersama-sama Samirah malah membantunya mengemas sebelum keluarga berkenaan berpindah dari Mutiara Damansara ke Taman Tun Dr Ismail.
Beliau berkata pertuduhan terhadap anak guamnya diragui kerana pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan niat bersama antara ketiga-tiga responden.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Siapakah yang dibebaskan dari pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund? A: Samirah Muzaffar dan dua remaja dibebaskan dari pertuduhan tersebut.
- Q: Apakah keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan pihak pendakwaan? A: Mahkamah menolak rayuan akhir pihak pendakwaan dan mengekalkan keputusan pembebasan ketiga-tiga tertuduh.
- Q: Apakah alasan panel hakim untuk menolak rayuan pihak pendakwaan? A: Panel hakim mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan niat bersama ketiga-tiga tertuduh untuk menyebabkan kematian mangsa.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

