MALAYSIA
Kes culik warga Palestin: Mangsa dijumpai diikat guna "cable tie" - Saksi

Semua tertuduh didakwa menahan mangsa berusia 31 tahun itu di lokasi dan waktu sama bagi mendapatkan ganjaran. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa polis menemukan seorang lelaki Palestin berada dalam keadaan tangan dan kakinya diikat menggunakan cable tie semasa serbuan di sebuah chalet di Hulu Langat hampir tiga tahun lepas.
Ringkasan AI
- Polis menemui seorang lelaki Palestin dalam keadaan tangan dan kaki diikat dengan cable tie semasa serbuan di sebuah chalet di Hulu Langat pada 29 September 2022, melibatkan lapan tertuduh yang kini dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
- Serbuan turut menemukan 36 unit cable tie dan membawa kepada penahanan beberapa individu, termasuk dua lelaki yang cuba melarikan diri ke bumbung serta tiga lagi yang berada di bilik berasingan.
- Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 kerana menahan mangsa bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian penggodaman telefon, manakala tiga daripada mereka turut berdepan 19 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM250,000.
"Kami dapati seorang lelaki berada dalam bilik itu dalam keadaan tangan dan kaki diikat dengan cable tie. Kami selamatkan lelaki tersebut dan minta kemukakan dokumen pengenalan diri dan mendapati mangsa merupakan warganegara Palestin," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman.
Beliau berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes penculikan lelaki warga Palestin dihadapi lapan tertuduh iaitu Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 44, Mohamad Naziree Mustapha, 44, Faizull Hardey Mohd Isa, 45, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 30, Mohd Zaidi Mohd Zain, 59, Nidarahayu Zainal, 39, Raibafie Amdan, 44, dan Edy Ko'im Said, 45.
Saksi pendakwaan ketiga itu berkata pasukan polis juga telah membuat serbuan di bilik 110 dan mendapati tiga lelaki berada di dalam bilik berkenaan iaitu Tengku Arif Bongsu, Mohamad Naziree dan Faizull Hardey, selain menjumpai 36 unit cable tie berwarna hitam di dalam plastik lutsinar.
Mohamad Jazlan berkata serbuan itu dibuat selepas beliau dan pasukan menangkap seorang lelaki iaitu Mohamad Norakmal Hassan pada tarikh sama.
Sebelum ini, Mohamad Norakmal bersama lima individu lain dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi sama selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan melarikan dan mengurung lelaki Palestin itu.
Lima individu itu ialah Mohd Azwan Jamaludin, 42, Dody Junaidi, 47, Mohamad Sufian Saly, 28, Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 54, dan Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 28.
Perbicaraan di hadapan Hakim K Muniandy bersambung 12 Ogos.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dengan niat bersama telah menahan mangsa berusia 31 tahun itu di lokasi dan waktu sama bagi mendapatkan ganjaran, iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.
Kelapan-lapan individu berkenaan didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Tengku Arif Bongsu dan pasangan suami isteri iaitu Nidarahayu serta Raibafie turut berdepan 19 lagi pertuduhan membabitkan jumlah lebih RM250,000, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami