GEORGE TOWN: Kes curi kereta di Pulau Pinang mencatatkan peningkatan yang tinggi iaitu 57.6 peratus sejak awal Januari hingga semalam berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata 104 kes curi kereta dicatatkan dari awal tahun hingga semalam berbanding 65 kes untuk tempoh sama pada tahun lepas.

"Bagi tempoh sama, kes kecurian motosikal meningkat 1.2 peratus iaitu 515 kes pada tahun ini berbanding 509 kes pada tahun lepas. Kes kecurian van, lori dan jentera berat pula meningkat sehingga 140 peratus daripada 10 kes pada 2021 kepada 24 kes pada tahun ini.

"Jumlah keseluruhan kes kecurian kenderaan bagi tahun ini naik 9.9 peratus iaitu 643 kes pada tahun ini berbanding 585 kes tahun lepas," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurutnya setakat ini, polis tidak mempunyai maklumat sama ada motosikal yang dicuri itu dijual semula atau hanya diambil komponen tertentu untuk dijual terutama bagi tujuan pengubahsuaian.

Mohd Shuhaily berkata selain kes kecurian motosikal, kes curi kenderaan lama juga meningkat di Pulau Pinang iaitu membabitkan kereta bukan jenis mewah sebaliknya model yang sudah lama malah edisi yang tiada lagi dalam pasaran.

-- BERNAMA