Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengesahkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Dengkil Adhif Syan Abdullah sebagai Ketua Armada Selangor digantung berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Belia dan Sukan itu berkata Majlis Ketua Armada Nasional memutuskan penggantungan itu berterusan sehingga siasatan polis berkaitan kes dadah itu selesai.

“YB Tuan Adhif Syan Bin Abdullah digantung dari jawatan Ketua ARMADA Negeri Selangor dan jawatan tersebut akan dipangku oleh Sdr Anas Akashah Bin Nazri, Timb Ketua ARMADA Negeri Selangor,” kata Syed Saddiq dalam kenyataan itu.

Turut digantung jawatan ialah Penolong Setiausaha Armada Nasional Ahmad Redzuan Shafi, dan jawatan itu dipangku Exco Armada Nasional iaitu Anas Akashah Nazri.

Pada Isnin lepas, Adhif Syan, dan empat pegawai khas ahli politik, antara 17 individu ditahan polis dalam satu operasi.

Kesemua mereka ditahan pada jam 4.45 pagi di sebuah kondominium di Jalan Puchong.

Siasatan mendapati daripada 17 individu berkenaan, hanya seorang negatif dalam ujian dadah.