PLUS, Korea Expressway Corporation tingkat kerjasama ke arah inovasi mobiliti pintar

Nik Airina berkata hubungan strategik antara PLUS dan KEC menyokong agenda Malaysia dan Korea Selatan untuk memajukan rangkaian pengangkutan dan teknologi hijau serta memacu transformasi digital.
KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Korea Expressway Corporation (KEC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bertujuan memajukan infrastruktur berteknologi tinggi, mempertingkat solusi mobiliti pintar serta memacu inisiatif berteraskan kelestarian di jajaran lebuh raya masing-masing.
PLUS dalam kenyataan memaklumkan MoU tersebut dimeterai antara Pengarah Urusan PLUS Datuk Nik Airina Nik Jaffar dan Presiden KEC Ham Jin-Gyu dalam satu majlis bersempena penganjuran 20th ITS Asia Pacific Forum 2025 di Suwon, Korea Selatan.
Nik Airina berkata hubungan strategik antara PLUS dan KEC mencerminkan komitmen bersama dalam mentakrifkan semula pengurusan lebuh raya dan mempertingkatkan pengalaman pengguna melalui inovasi.
"Dalam jangka masa dua tahun, kami akan bersama-sama meneroka teknologi penurapan jalan, sistem kamera pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan solusi sistem tol yang selari dengan visi PLUS untuk menyediakan pengalaman lebuh raya bertaraf dunia kepada semua.
"Menerusi usaha sama ini, kami berhasrat untuk meneroka operasi lebuh raya yang lebih moden ke arah lebuh raya masa hadapan yang lebih pintar dan mesra alam," katanya dalam kenyataan sama.
Menurut kenyataan itu, fokus utama kerjasama berkenaan meliputi pembangunan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS), infrastruktur lestari dan peningkatan keupayaan tenaga kerja merentasi kedua-dua organisasi.
Beliau berkata hubungan strategik itu menyokong agenda Malaysia dan Korea Selatan untuk memajukan rangkaian pengangkutan dan teknologi hijau serta memacu transformasi digital.
Melalui penggabungan sumber dan kepakaran, PLUS dan KEC juga bersedia untuk menetapkan penanda aras baharu dalam kecekapan operasi, ketahanan infrastruktur dan kepuasan pengguna di sepanjang rangkaian lebuh raya.
"Dalam era industri pengangkutan global yang berevolusi dengan arus pemodenan, pengendali lebuh raya menghadapi cabaran yang semakin meningkat untuk menyediakan infrastruktur yang berdaya tahan dan mobiliti yang lancar," menurut kenyataan itu.
Selain itu, melalui penyelarasan perancangan dasar strategik dengan pelaksanaan di lapangan serta kebolehupayaan pertukaran teknologi, kedua-dua negara juga lebih bersedia untuk memenuhi kehendak mobiliti generasi akan datang.
PLUS turut menyambut baik kerjasama yang dimeterai menerusi MoU antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan (MOLIT) Korea Selatan pada Selasa lepas di ibu negara.
Menurut PLUS, MoU tersebut memperkukuh hubungan strategik peringkat industri yang telah terjalin antara PLUS dan KEC sebagai pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia dan Korea Selatan, bertujuan merangka laluan bagi inovasi, pertukaran ilmu dan kemajuan teknologi dalam ekosistem lebuh raya kedua-dua negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


