KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang hanya melepaskan tanpa membebaskannya daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas prosiding di Mahkamah Tinggi di sini berkata pihaknya akan memfailkan rayuan itu esok.

Terdahulu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding kes itu kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal berkata daripada tarikh anak guamnya dituduh pada 19 Okt 2018, pembelaan telah mengemukakan beberapa representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Representasi terbaharu dikemukakan untuk mengkaji semula pertuduhan dan menarik semula pertuduhan-pertuduhan tersebut atas alasan dan sebab yang kukuh bahawa tidak ada asas bagi pertuduhan tersebut.

"Pada Februari tahun ini, pihak pembelaan telah diberikan salinan satu surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada AGC yang antara lain menyatakan siasatan menyeluruh amat penting agar pasukan penyiasat dan pihak pendakwaan tidak dikecam oleh orang awam dan dituduh melakukan pendakwaan terpilih," katanya.

Ahmad Zaidi berkata berikutan permohonan Peguam Negara hari ini, pihaknya percaya ia berkemungkinan akan dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu.

"Namun, ingin kami tekankan di sini bahawa Peguam Negara hanya melaksanakan budi bicara yang ada sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Malah, ini bukanlah kali pertama untuk mana-mana Peguam Negara menggunakan budi bicara yang ada sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang untuk mengambil tindakan untuk menarik balik pertuduhan dari pendakwaan di mahkamah," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika ditemui menzahirkan kesyukuran atas keputusan mahkamah yang menghentikan prosiding terhadapnya susulan permohonan pendakwaan.

"Tugasan kami dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah untuk meneruskan perjuangan agar lemparan tuduhan yang bermotifkan politik dapat dihentikan," katanya yang juga presiden UMNO dan pengerusi BN.

Ahmad Zahid, 70, telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat pada Januari dan Februari lepas kepada AGC sebagai asas pertimbangan agar kesemua pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Beliau juga dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan kes itu kini di peringkat pembelaan yang setakat ini telah memanggil 15 saksi termasuk Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

-- BERNAMA