ALOR SETAR: Bilangan kes denggi di Kedah mencatatkan peningkatan sebanyak 365 kes sehingga Sabtu lalu berbanding hanya 118 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata, peningkatan yang berlaku adalah sebanyak 209.3 peratus, namun, tiada kematian dilaporkan setakat ini.

"Sehingga 4 Februari lalu, sebanyak 35 wabak direkodkan berbanding dengan 13 wabak pada tempoh yang sama tahun lalu, daripada 35 wabak yang dilaporkan, 24 wabak denggi sudah tamat, 10 masih aktif dan satu wabak tidak terkawal.

"Manakala dalam tempoh 1 Januari hingga 4 Februari, sebanyak 32,115 premis diperiksa dan sebanyak 856 kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dengan nilai RM415,517 kepada pemilik premis yang dikesan terdapat pembiakan nyamuk Aedes," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, dengan peningkatan jangkitan denggi di negeri ini, penglibatan masyarakat dalam usaha kawalan wabak adalah sangat mustahak.

Katanya, seluruh anggota masyarakat diseru sama-sama memikul tanggungjawab dengan melaksanakan aktiviti membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kediaman dan premis masing-masing setiap minggu.

"Jabatan Kesihatan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan di semua kawasan berlakunya kes dan wabak denggi yang dilaporkan bagi memutuskan rantaian jangkitan.

"Aktiviti kawalan vektor yang membabitkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan dijalankan untuk setiap kejadian kes tunggal atau wabak.

"Di samping itu, aktiviti pencegahan juga dipertingkatkan di lokaliti keutamaan dan berisiko yang dikenal pasti di seluruh negeri Kedah," jelasnya.