PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi menurun 2.2 peratus kepada 2,221 kes pada Minggu Epidemiologi ke-44 (ME44), iaitu bagi tempoh 29 Okt hingga 4 Nov berbanding 2,272 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata pada ME44, lima kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME44 meningkat 96.9 peratus kepada 100,936 kes, berbanding 51,262 kes bagi tempoh sama pada 2022.

"Sejumlah 78 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 35 kematian bagi tempoh yang sama pada 2022," katanya dalam kenyataan mengenai situasi demam denggi di Malaysia hari ini,

Dr Muhammad Radzi berkata bilangan lokaliti 'titik panas' yang dilaporkan pada ME44 sebanyak 67 lokaliti, berbanding 68 pada minggu sebelumnya.

Lokaliti tersebut ialah 47 di Selangor, lapan di Perak, lima di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dua di Negeri Sembilan dan Kelantan, serta masing-masing satu di Pulau Pinang, Pahang dan Sabah.

Dr Muhammad Radzi berkata vektor penyakit demam denggi ialah nyamuk Aedes aegypti dan Aedes albopictus.

"Nyamuk Aedes aegypti cenderung berada di dalam rumah, manakala nyamuk Aedes albopictus kebiasaannya ditemukan di luar rumah. Nyamuk Aedes tinggal di habitat yang berhampiran dengan manusia (domestik) dan pada kebiasaannya menggigit pada awal pagi atau lewat petang.

"Kebanyakan tempat pembiakan Aedes didapati pada struktur dan bekas buatan manusia, sampah terbiar dan bekas atau struktur yang dapat menakung air," katanya.

Sehubungan itu, Dr Muhammad Radzi berkata aktiviti pemusnahan tempat pembiakan nyamuk serta pencegahan gigitan nyamuk, amat penting dalam memutuskan rangkaian jangkitan demam denggi.

"Penggunaan penghalau nyamuk elektrik, pemakaian bahan pencegah, memakai pakaian yang berlengan panjang atau berseluar panjang, serta mengurangkan aktiviti luar di waktu puncak dapat mengurangkan risiko gigitan nyamuk," katanya.

Bagi survelan chikungunya pula, beliau berkata tiada kes direkodkan pada ME44 dan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini ialah 181 kes.

"Bagi survelan zika, sebanyak 3,065 sampel darah dan 316 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya negatif," katanya.

-- BERNAMA