Kes demam denggi di seluruh negara menurun 13.3 peratus pada minggu ke-30 bagi tempoh 24 hingga 30 Julai dengan 1,896 kes berbanding 2,188 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagaimanapun terdapat enam buah negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Kelantan 44 kes (25.3 peratus), Sarawak 14 kes (21.9 peratus), Pahang 11 kes (25.6 peratus), Melaka 11 kes (20.0 peratus), Terengganu dua kes (18.2 peratus) dan Perlis satu kes (100 peratus).

Katanya jumlah kumulatif kes denggi untuk tempoh tujuh bulan tahun ini juga menunjukkan penurunan sebanyak 7.2 peratus (5,062 kes) iaitu 65,618 kes berbanding 70,680 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

"Terdapat lima kematian yang dilaporkan pada minggu ke-30.

"Jumlah kumulatif kematian denggi dari Januari sehingga 30 Julai 2016, adalah sebanyak 147 kematian berbanding 190 kematian bagi tempoh sama tahun 2015, dengan peratusan pengurangan sebanyak 22.6 peratus (43 kematian)," katanya dalam satu kenyataan di sini Sabtu.

Jumlah kes lokaliti wabak juga menunjukkan penurunan iaitu daripada 770 lokaliti pada minggu ke-29 kepada 755 lokaliti pada minggu ke-30, katanya.

Menurutnya, jumlah lokaliti hotspot juga didapati berkurangan daripada 98 lokaliti pada minggu sebelumnya kepada 93 lokaliti pada minggu ke-30.

Dr Noor Hisham berkata walaupun terdapat kesedaran yang tinggi tentang demam denggi namun amalan pencegahan adalah rendah.

"Oleh sebab itu, untuk pencegahan demam denggi, pasukan COMBI yang terdiri daripada masyarakat hendaklah menjadi agen perubahan kepada komuniti setempat untuk menjalankan aktiviti pembersihan persekitaran setiap minggu," katanya.

Mengenai jangkitan virus Zika, Dr Noor Hisham berkata 668 sampel telah diuji oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari Jun 2015 sehingga 30 Julai 2016, namun tiada jangkitan virus Zika yang dikesan.