Kes dera anak saudara: Polis panggil saksi lain beri keterangan

Aida Aziz
Mei 17, 2022 10:02 MYT
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, adik mangsa yang disyaki turut didera masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan disahkan stabil. - Gambar fail/BERNAMA
IPOH: Polis akan memanggil beberapa orang saksi lain bagi memberikan keterangan berhubung kes kematian seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki didera oleh ibu dan bapa saudaranya.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, adik mangsa yang disyaki turut didera masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan disahkan stabil.
"Kita akan panggil beberapa saksi yang terlibat, mungkin jiran dia (pasangan suami isteri) sebab (difahamkan) dia berniaga jual mi rebus di depan rumah.
"Saksi lain akan dipanggil untuk menyokong keterangan yang ada. Adik kepada mangsa masih lagi dirawat di HRPB Ipoh, keadaan dia stabil.
"Dua suspek ini (pasangan suami isteri) masih lagi direman selama tujuh hari. Kita akan teruskan siasatan dan selepas siasatan selesai akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara atau Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
"Sama ada tertuduh akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau tidak, kita menunggu hasil siasatan yang sedang dijalankan," katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Ahli Jawatankuasa Perhubungan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Perak 2020-2022, di sini pada Selasa.
Hadir sama, Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob.
Dalam pada itu, mengulas lanjut berhubung kes tersebut, Mior Faridalathrash berkata bapa mangsa kini ditahan di penjara atas kesalahan dadah.
"Bapanya (mangsa) merupakan abang kepada ibu saudara mangsa. Mereka (dua beradik) telah dijaga sejak tahun 2022 dan didera sejak awal tahun ini.
"Sebelum ini, selepas ibu dan bapa mangsa bercerai. Kedua beradik ini diserahkan kepada ibu dan bapa saudara di Lembah Klang.
"Tapi oleh kerana ibu saudaranya kena serangan jantung baru-baru ini, dia serahkan hak penjagaan kepada kedua-dua suspek. Dua beradik ini ada adik beradik lain tetapi hanya mereka yang tinggal dengan keluarga ini (suspek)," katanya lagi.
Terdahulu media melaporkan, polis telah menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak yang disyaki didera.
BACA: Kanak-kanak meninggal dunia disyaki didera, suami isteri ditahan
BACA: Kes dera: Pasangan suami isteri direman tujuh hari
BACA: Kes dera: Adik mangsa disyaki turut terima nasib sama
Menurut Mior Faridalathrash, pasangan itu adalah ibu dan bapa saudara yang merupakan penjaga mangsa.
Katanya, penahanan itu ekoran satu laporan polis dibuat pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB kira-kira jam 3.14 pagi kelmarin.
Menurutnya, berdasarkan laporan itu, pihak hospital menerima seorang pesakit kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang dibawa ambulans dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.45 pagi.
Dalam pada itu polis turut berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki, yang merupakan adik kepada mangsa.
Difahamkan, mangsa diselamatkan dari sebuah rumah di Desa Pengkalan Bandaraya, di sini dan terdapat kesan kecederaan fizikal lama dan baharu ke atas kanak-kanak lelaki itu.
#kes dera #anak saudara didera #ibu dan bapa saudara #polis perak #ospital Raja Permaisuri Bainun