AMPANG JAYA: Seorang pengasuh warga Singapura yang ditahan berhubung kes dera kanak-kanak autisme di pusat asuhan di Bandar Baru Ampang, Ampang akan didakwa di Mahkamah Ampang pada Rabu ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tindakan itu diambil selepas kertas siasatan terhadap wanita berusia 51 tahun dirujuk dan mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk mendakwanya di mahkamah.

"Kita telah melengkapkan siasatan dan kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara hari ini.

"Kita terima arahan untuk menuduh suspek di Mahkamah Ampang pada Rabu ini, pukul 10 pagi," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, wanita itu akan didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu bagi Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1952 iaitu tinggal lebih masa dan tiada pas sosial tamat tempoh katanya, jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan denda maksimum RM10,000.00 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih daripada enam kali.

Media sebelum ini melaporkan, kejadian disedari bapa kanak-kanak itu pada Jumaat minggu lalu ketika mengambil mangsa dan ternampak kesan lebam pada bahu kiri dan kedua-dua mata anaknya.

Seorang guru di situ memaklumkan kesan kemerahan pada tepi dahi kiri mangsa itu didakwa berlaku akibat tindakan mangsa menghantukkan kepala pada meja atas alasan tidak mahu makan.

Perkara itu bagaimanapun terbongkar apabila bapa mangsa yang curiga dengan perkara itu kemudian menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan mendapati suspek bertindak kasar dengan mangsa apabila mangsa mengelak untuk makan.