Pemilik taska yang ditahan berhubung kes tiga kanak- kanak diikat dan dipercayai didera akan didakwa di Mahkamah Majistret Kajang dalam masa terdekat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abu Samah Mat berkata, arahan pendakwaan telah dikeluarkan oleh pejabat pendakwa raya.

“Pemilik taska berkenaan akan dituduh dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 manakala dua pekerja lagi berhadapan dengan satu pertuduhan iaitu bersubahat.

“Tindakan juga akan diambil terhadap taska tersebut mengikut Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 kerana beroperasi tanpa lesen. Tindakan ini termasuklah penutupan premis,” katanya selepas Majlis Himpunan Bulanan di IPK Selangor, Shah Alam di sini hari ini.

BACA: Gambar bayi diikat: Empat wanita disambung reman dua hari lagi

BACA: Kes kanak-kanak diikat: Taska beroperasi tanpa lesen


Minggu lalu, sekeping gambar kanak- kanak yang diikat kaki, tangan dan mulut di sebuah taska di Bangi menjadi tular di media sosial.

Hasil pemeriksaan di hospital mendapati kanak-kanak terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

Jelasnya lagi, pihaknya juga telah mendapat keputusan arahan daripada pendakwa raya terhadap tuan punya pemilik taska berkenaan.

“Individu itu akan dihadapkan ke mahkamah dengan tiga pertuduhan di bawah Akta Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak kanak tahun 2001 manakala dua lagi wanita suspek sebagai pengasuh di taska berkenaan akan dihadapkan ke mahkamah atas satu tuduhan setiap mereka kerana kesalahan bersubahat,” katanya.