GEORGE TOWN: Polis menahan sembilan remaja bagi membantu siasatan berhubung dua kejadian pergaduhan di sebuah sekolah menengah di Butterworth baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, lapan daripada mereka adalah pelajar sekolah manakala seorang lagi tidak lagi bersekolah.

Menurutnya, kesemua mereka yang di bawah umur ditahan pada Jumaat dan dibebaskan pada Sabtu.

"Saya mengesahkan ada penahanan berhubung dua kes berbeza di sekolah berkenaan. Penahanan dibuat pada Jumaat.

"Kesemua mereka ditahan secara berasingan di Butterworth namun telah dibebaskan dengan jaminan polis pada hari ini.

"Setakat ini kita menahan sembilan remaja untuk diambil keterangan," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Tanjong di sini pada Sabtu.

Kata beliau, kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sebelum ini, tular di media sosial dua kejadian pergaduhan berasingan di sekolah yang sama dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.

Salah satu daripadanya yang berdurasi 32 saat memaparkan seorang murid lelaki ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi oleh beberapa murid dipercayai berlaku dalam sebuah tandas tular di media sosial sejak semalam.

Kebanyakan mereka termasuk mangsa serta sekumpulan murid yang turut kelihatan menjadi 'penonton' aksi buli itu dilihat memakai pelitup muka dan berpakaian sukan. -Sinar Harian