KUALA LUMPUR: Mahkamah Seksyen hari ini mengarahkan saksi pendakwaan kelapan dalam kes rasuah Lim Guan Eng, untuk megemukakan salinan digital perbualan WhatsApp antara dua ahli perniagaan yang dikaitkan dengan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Mahkamah mengeluarkan arahan tersebut selepas peguam Gobind Sing Deo yang mewakili Lim memaklumkan kepada Hakim Azura Alwi, bahawa mesej antara Pengarah Consortium Zenith Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan ahli perniagaan, G. Gnanaraja, telah dikemukakan dalam perbicaraan berasingan di Shah Alam yang melibatkan Gnanaraja.

Hakim Azura juga mengarahkan saksi kelapan, Pegawai Penyiasat Jabatan Forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Mohd Firdaus Wan Yusof untuk menyediakan butiran pegawai SPRM yang telah menyediakan laporan forensik pengekstrakan telefon Ahmad Zarul, yang telah dikemukakan pada perbicaraan di Shah Alam.

Untuk rekod, Gnanaraja merupakan seorang saksi pendakwaan dalam kes perbicaraan Lim.

Gnanaraja telah minta dibicarakan di Mahkamah Seksyen Shah Alam pada 3 April 2019 atas tiga kesalahan menipu Zarul Ahmad berjumlah RM19 juta.

Beliau didakwa telah memperdayakan Zarul Ahmad untuk mempercayainya yang beliau boleh membantunya menutup siasatan SPRM terhadapnya.

Terdahulu, Wan Mohd Firdaus bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa terdapat tiga laporan forensik dikeluarkan, daripada pengekstrakan telefon yang sama.

Beliau menjelaskan bahawa laporan itu telah disediakan oleh seorang lagi pegawai daripada jabatan yang sama untuk kes perbicaraan di Shah Alam.

Ketika disoal Gobind, Wan Mohd Firdaus memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya mengekstrak maklumat berdasarkan kepada tarikh tertentu.

Gobind: Kamu hanya ekstrak maklumat berdasarkan tarikh-tarikh tertentu? Kamu tidak lihat keseluruhan salinan?.

Wan Mohd Firdaus: Betul.

Gobind: Adakah anda diperlukan untuk melihat keseluruhan salinan?

Wan Mohd Firdaus: Tidak. Kami perlu cari yang khusus.

Lim, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Lim yang juga bekas Setiausaha Agung DAP, juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Perbicaraan bersambung 19 Okt. - BERNAMA