KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen pada Khamis bahawa mereka berhasrat untuk memindahkan dua pertuduhan kes rasuah berjumlah RM4.1 juta berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Shah Alam membabitkan Adam Radlan Adam Muhammad ke mahkamah yang sama di sini.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi, Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaidi berkata, sebutan bagi kes di Shah Alam ditetapkan pada 14 April depan.

“Pendakwaan berhasrat untuk memindahkan kes terhadap Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut itu ke Mahkamah Sesyen di sini,” katanya.

Dengan kata lain, dua pertuduhan di Shah Alam itu akan didengar bersama pertuduhan yang dibuat di sini.

Sementara itu, peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili ahli perniagaan itu tidak membantah cadangan terbabit.

Azura kemudiannya menetapkan sebutan kes seterusnya dan serahan dokumen pada 29 Mei depan.

Pada 21 Februari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat itu dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas satu tuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat merupakan Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa atas satu tuduhan menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Pada 22 Februari pula, dia didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Mengikut kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tan Chuan dan Mat Jusoh Mamat melalui akaun CIMB Bank Bhd milik Syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd yang dia adalah pengarah syarikat berkenaan.

Ia sebagai upah bagi tertuduh membantu Syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd bagi mendapatkan dua projek iaitu Ibu Pejabat Daerah Klang Utara dan pembinaan jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan Malaysia masing-masing bernilai RM141 juta serta RM47.8 juta.

Pada 28 Februari, dia dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan meminta rasuah RM2 juta, tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa meminta suapan itu daripada Lian Tan Chuan sebagai upah membantu Nepturis mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada kerajaan Malaysia di sebuah restoran di Damansara, Januari tahun lalu. - Sinar Harian